Wanita Kelantan gemakan bacaan Quran serentak di Serambi Makkah

Iklan
Golongan wanita berkumpul membacakan al-Quran dan tadabbur pada program Wanita Kelantan #QuranHour di Masjid Muhammadi pada Sabtu.

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Program Wanita Kelantan #QuranHour 2024 melakar sejarah tersendiri di negara ini apabila julung kalinya merekodkan himpunan terbesar melibatkan lebih 1,000 golongan wanita menggemakan bacaan dan tadabbur al-Quran serentak di negeri Serambi Makkah pada Sabtu.

Program anjuran Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu berlangsung di masjid negeri, Masjid Jamek Muhammadi bermula jam 8 pagi dan disertai wanita pelbagai latar belakang berusia 18 tahun hingga 84 tahun.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program julung kali dianjurkan dalam negara itu membawa pendekatan baharu iaitu memperkasakan wanita melalui penghayatan al-Quran.

Peserta Wanita Kelantan #QuranHour, Che Minah Yusof,75, (tengah) membacakan Surah An-Nisa'’.

"Fokus utama program ini ialah membantu golongan berkenaan memahami peranan besar"Wanita Hebat' yang digariskan dalam al-Quran khususnya melalui Surah An-Nisa' ayat 94 hingga 100.

Iklan

"Pengajaran daripada ayat-ayat ini dapat membantu wanita membawa keluarga mencapai misi ‘Masuk Syurga Sekeluarga’ dengan menjalankan peranan penting dalam keluarga dan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian selepas Meluncurkan Wanita Kelantan #QuranHour 2024 di Masjid Muhammadi, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi PRNNK Datuk Adnan Hashim.

Iklan

Marhaini memberitahu, melalui program itu juga, wanita Kelantan didedahkan kepada lima aspek utama yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian untuk mencapai matlamat bertawakal kepada ALLAH SWT.

Barisan Ahli Jawatankuasa yang menjayakan Program Wanita Kelantan #QuranHour.

"Aspek-aspek itu ialah mendidik keluarga dengan keadilan dan akhlak yang baik, memimpin keluarga berjuang di jalan Allah dan menjadi contoh dalam perubahan demi kebaikan.

"Selainnya, mengutamakan kesejahteraan keluarga dengan bijak mengurus keterbatasan dan menanamkan keyakinan terhadap ganjaran amal soleh daripada ALLAH SWT,” kata beliau.

Tambahnya, surah Al-Nisa juga melengkapkan garis panduan syariat Islam dengan penekanan pada peranan wanita dan keluarga sebagai asas kestabilan emosi dan kemakmuran negara.

"Walaupun wanita tidak terlibat langsung dalam jihad, mereka tetap penting dalam pembentukan masyarakat.

"WUIF berhasrat menjadikan program ini sebagai acara tahunan dan menjadi inspirasi bagi wanita Kelantan untuk berperanan aktif dalam pembangunan moral serta jati diri Islam selaras dengan ajaran Al-Quran,” katanya.

Peserta wanita yang menyertai Wanita Kelantan #QuranHour di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Jamek Muhammadi, Hairul Azizi Mokhtar berkata, pihaknya amat berbesar hati terhadap penganjuran Wanita Kelantan #QuranHour 2024 di masjid berkenaan.

"Kami mengalu-alukan program-program ilmu al-Quran seumpama ini untuk diadakan pada masa hadapan bagi sama-sama mengimarahkan Masjid Jamek Muhammadi,” katanya.