PRK Mahkota: 29.08 peratus mengundi setakat 12 tengah hari - SPR

Iklan
Petugas SPR membantu seorang pengundi memasukkan kertas ke dalam peti undi pada PRK DUN Mahkota di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana hari ini. Foto Bernama

KLUANG - Sebanyak 29.08 peratus daripada 61,274 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selesai mengundi setakat 12 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian di 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan berlangsung sehingga 6 petang ini, selepas dibuka pada 8 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menyasarkan peratusan keluar mengundi pada PRK itu lebih 60 peratus.

Selepas proses pengudian tamat, proses pengiraan undi akan dilakukan di pusat mengundi masing-masing diikuti proses penjumlahan undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, dengan keputusan dijangka seawal 9 malam.

Iklan

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Hari undi awal bagi PRK itu berlangsung pada Selasa lepas, melibatkan 4,437 tentera dan pasangan serta polis, selain 607 kertas undi telah dikeluarkan pada 15 September. - Bernama

Iklan