Melaka Smart Parking beroperasi 2 Oktober ini

Iklan
Melaka Smart Parking yang merupakan aplikasi induk sistem pembayaran parkir negeri Melaka melibatkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu akan mula beroperasi pada 2 Oktober ini.Gambar hiasan.

MELAKA - Melaka Smart Parking yang merupakan aplikasi induk sistem pembayaran parkir negeri Melaka melibatkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu akan mula beroperasi pada 2 Oktober ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sistem baharu berkenaan sekali gus menggantikan penggunaan aplikasi lama iaitu SVP Smart Parking Melaka.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, justeru dalam tempoh peralihan penggunaan aplikasi baharu itu, pengguna berpeluang menikmati parkir percuma di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sehingga 1 Oktober ini.

"Aplikasi Melaka Smart Parking dicipta bagi menyelaras sistem parkir di bawah empat PBT di negeri ini sekali gus memudahkan pengguna atau pelancong membuat pembayaran caj parkir kereta dengan mudah dan sistematik.

Iklan

"Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun di Google Play Store atau Apple Store bermula esok dan penyelarasan sistem parkir itu juga merupakan salah satu agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negeri Melaka," katanya kepada pemberita di Dataran Klebang di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian program World Clean Up Day 2024 anjuran MBMB yang turut dihadiri Setiausaha MBMB, Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh.

Iklan

Mengulas lanjut, Rais berkata, pengguna tidak perlu bimbang tentang baki kredit yang terdapat dalam aplikasi SVP Smart Parking Melaka kerana jumlah berkenaan akan dipindahkan ke akaun aplikasi Melaka Smart Parking dengan syarat pengguna perlu log masuk ke aplikasi baharu mengguna ID sedia ada yang telah berdaftar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri sedang menambah baik kaedah pengurusan sampah-sarap longgok atau yang dibuang secara haram bagi memastikan aspek kebersihan Melaka sebagai negeri pelancongan akan terus terpelihara.

Kaedah baharu itu akan memudahkan sektor pembinaan dan komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) atau peniaga yang tidak mempunyai kontraktor kutipan sampah yang dilantik bagi memudahkan mengurus sisa pepejal dihasilkan, tambah beliau.

"Kaedah itu akan diumumkan berkemungkinan pada tahun hadapan dan sekarang ini kita sedang giat melaksanakan bengkel bagi memupuk kesedaran berkaitan isu ini dan ia adalah salah satu Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk saya sebagai exco serta empat PBT yang ada di negeri ini," katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, program World Clean Up Day 2024 anjuran MBMB mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) bagi kategori Sukarelawan Teramai melibatkan penyertaan sebanyak 3,852 orang dan sijil pengiktirafan itu disampaikan Konsultan Kanan The MBOR Sdn Bhd Siti Hajar Johor kepada Rais. - Bernama