Sampel air Sungai Gemencheh di hantar ke Jabatan Kimia

Iklan
Laporan Sinar Harian

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah mengambil sampel air Sungai Gemencheh di Tampin untuk di hantar ke Jabatan Kimia selepas didakwa tercemar berikutan berwarna hitam.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sampel berkenaan diambil pada Jumaat untuk dianalisis sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan siasatan di lokasi pula, iaitu di Taman Rekreasi Ampang Batu, Sungai Gedok mendapati air keruh, tiada ikan mati dan tiada bau. Setelah pemeriksaan YSI mendapati parameter YSI patuh dimana bacaan oksigen terlarut (DO) (5.5) dan pH (7.7).

"Pemeriksaan seterusnya dijalankan di jambatan sungai 500 meter dari lokasi pertama menemui seekor ikan mati dan tiada bau pada air dan warna sedikit hitam. Hasil pemeriksaan YSI mendapati normal terutama bacaan DO (5.77) dan pH (6)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, lokasi ketiga iaitu kawasan takat pelepasan akhir di sebuah kilang di situ mendapati operasi kolam dalam keadaan baik, tiada bypass dan tiada bund pecah, proses pengambilan sampel telah dijalankan untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan turut dijalankan di kawasan jambatan sungai 400 meter dari takat pelepasan akhir kilang tersebut yang didapati warna sungai normal, tidak hitam, tidak berbau dan tiada ikan mati.

Iklan

"Seterusnya pemeriksaan terakhir di lokasi satu kilometer selepas lokasi berkenaan mendapati air sungai tidak bergerak kerana ada halangan pokok di tepi sungai atau semak menyebabkan air berwarna hitam.

"JAS mengesyorkan supaya laporan kimia disimpan untuk pertimbangan akan datang (KIV) serta dipanjangkan untuk siasatan susulan pematuhan syarat lesen kilang berkenaan dijalankan oleh pihak terlibat,"katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mengelakkan perkara sama berulang, proses pembersihan sungai akan dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Sungai Gemencheh dikesan tercemar sehingga airnya bertukar warna hitam selain terdapat ikan mati disyaki berpunca daripada sisa buangan kilang berhampiran.

Air sungai berwarna hitam itu dikatakan sering berlaku dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini sehingga menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pekebun dan penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar bersama JAS Negeri Sembilan dan beberapa agensi kerajaan berkaitan telah lokasi yang didakwa susulan aduan berkenaan.