LZS lancar inisiatif Radiuz

Iklan
Mohd Sabirin (dua dari kiri) pada penyerahan zakat di Karnival Zakat Selangor pada Sabtu. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan inisiatif Rakan Affiliate Dakwah Kutipan Zakat (Radiuz) dalam usaha menarik lebih ramai masyarakat membayar zakat.

Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun berkata, rekod menunjukkan hampir satu juta rakyat di Selangor berusia 25 tahun ke atas belum membuat bayaran zakat di LZS.

Iklan
Iklan

Menurutnya, melalui program itu, LZS menawarkan upah satu peratus bagi setiap bayaran zakat yang dibuat melalui Radiuz berdaftar.

"Kalau ikut kemampuan LZS yang mempunyai 650 kakitangan, tidak mampu mencapai satu juta (pembayar zakat), jadi kami memerlukan Radiuz mempromosi dakwah zakat kepada masyarakat.

Iklan

"Setakat ini sudah terdapat pempengaruh menjadi Radiuz antaranya Financial Faiz, PU Amin serta beberapa lagi untuk galakkan lebih ramai sertai," katanya pada pelancaran Karnival Zakat Selangor di Dataran Karnival pekarangan Stadium Shah Alam pada Sabtu.

Beliau berkata, Radiuz terbuka kepada semua masyarakat berusia 18 tahun ke atas khususnya dalam kalangan mahasiswa selain tidak terlibat sebarang kes jenayah atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Iklan

Pelancaran karnival disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Raja Tan Sri Arshad Raja Uda Alhaj dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari sehingga Ahad itu menawarkan pelbagai pengisian bermanfaat antaranya lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam Karnival iKerjaya daripada 30 syarikat.

Tetamu kehormat bersama pengunjung bergambar beramai-ramai pada pelancaran Karnival Zakat Selangor. Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Terdapat juga kaunter bancian asnaf dan semakan bantuan serta perkhidmatan taksir dan bayar zakat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menawarkan diskaun tunggakan saman sehingga 30 peratus kepada pengunjung.

Dalam pada itu, pengunjung bertuah berpeluang mendapat Hadiah Utama Cabutan Bertuah berupa Pakej Umrah dan pelbagai hadiah lain yang menarik.

Mengulas lanjut, Muhd Fikri Naim berkata, sempena karnival itu, LZS turut melancarkan inisiatif CrowdZakat yang merupakan model zakat melalui pengelasan bantuan asnaf disediakan kepada pembayar zakat secara dalam talian.

"Setiap bantuan ada meter keperluan, jadi pembayar boleh membuat pilihan jenis bantuan berdasarkan kecenderungan keprihatinan masing-masing.

"Tujuan inisiatif diperkenalkan kerana mahu orang ramai tahu ke mana wang zakat diagihkan dan memberitahu jumlah zakat diperlukan untuk membantu asnaf di Selangor," katanya.

Pada program itu, tiga syarikat iaitu Gas Malaysia Berhad, MSC Trustgate.com Sdn Bhd dan Risda Agro Sdn Bhd menunaikan zakat perniagaan.

LZS turut menyampaikan bantuan agihan zakat sebanyak RM1.5 juta kepada 11 penerima.

Pada tahun ini sehingga Jun lalu, LZS mengagihkan sebanyak RM556.6 juta kepada asnaf di Selangor.