KLUANG - Sebanyak 38.53 peratus daripada 61,274 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selesai mengundi setakat 2 petang ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Proses pengundian di 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan berlangsung hingga 6 petang ini, selepas dibuka 8 pagi tadi.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menyasarkan peratusan keluar mengundi pada PRK itu lebih 60 peratus.
Setakat ini, cuaca di bandar Kluang masih baik walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan pada sebelah petang.
Selepas proses pengundian tamat, proses pengiraan undi akan dilakukan di pusat mengundi masing-masing diikuti proses penjumlahan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, dengan keputusan dijangka seawal 9 malam.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Hari undi awal bagi PRK itu berlangsung pada Selasa lepas, melibatkan 4,437 tentera dan pasangan serta polis, selain 607 kertas undi telah dikeluarkan pada 15 September. - Bernama