MAIDAM tingkat pengumpulan dana, galak orang ramai berwakaf

Iklan
Peserta Program Run & Walk For Waqf 2024 bersedia untuk melakukan aktiviti larian sempena program tersebut pada Sabtu.

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) meningkatkan pengumpulan dana wakaf di samping menggalakkan orang ramai untuk sama-sama menyertai ibadah itu bagi memastikan pelaksanaan pembangunan di atas tanah wakaf dapat dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, langkah itu selari dengan visi MAIDAM untuk menjadi sebuah baitulmal atau institusi pengurusan kewangan dan harta yang dinamik serta progresif.

Iklan
Iklan

"Tahun ini MAIDAM agak serius dalam mempelbagaikan program berbentuk wakaf untuk meningkatkan pengumpulan dana wakaf dan memastikan pembangunan tanah wakaf itu dapat kita laksanakan sebaiknya.

Peserta kanak-kanak turut tidak melepaskan peluang menyertai Program Run & Walk For Waqf 2024 di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Sabtu.

"Ia sudah tentu memerlukan usaha kolektif bukan hanya daripada MAIDAM malah pelbagai agensi bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat nasional.

Iklan

"Apabila sudah ada usaha kolektif daripada pelbagai agensi, banyak perkara yang kita boleh laksanakan bagi memastikan matlamat pengurusan wakaf, zakat dan pengurusan sumber am ini dapat dilaksanakan untuk manfaat golongan memerlukan," katanya.

Beliau ditemui sempena Program Run & Walk For Waqf 2024 yang diadakan di Dataran Batu Buruk, di sini, pada Sabtu sempena sambutan 75 tahun MAIDAM.

Iklan

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Menurut Ahmad Azrin, selain galakan berwakaf, program Run & Walk For Waqf 2024 itu juga dapat menggalakkan orang ramai menjalani gaya hidup sihat dan aktif.

Tengku Farok melepaskan peserta Program Run & Walk For Waqf 2024 yang diadakan di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Sabtu.

"Program ini disertai oleh seramai 980 peserta di mana wang pendaftaran penyertaan itu akan dimasukkan ke dalam tabung wakaf tunai MAIDAM.

"Hasil manfaat wakaf itu pula akan disalurkan kepada sektor pendidikan, kesihatan, keagamaan dan sosial,"katanya.

Beliau berkata, program tersebut dilihat mempunyai potensi untuk dilaksanakan dalam skala lebih besar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Bank Rakyat dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Terengganu serta agensi kerajaan lain.