TANJUNG MALIM - Anak penoreh getah, Nurul Hazwanie Badeli dari Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas, Kelantan yang sebelum ini mendapat perhatian umum kerana berdepan masalah kewangan akhirnya menjejakkan kaki ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dia merupakan antara 4,195 mahasiswa baharu yang mendaftar diri di UPSI pada Sabtu.
Kisah Nurul Hazwanie yang tular di media sosial beberapa hari lalu mengundang keprihatinan UPSI sekali gus melayakkannya menjadi salah seorang penerima bantuan bagi Skim Bantuan Pendaftaran Pengajian Semester satu yang di tawarkan oleh Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI.
Pengarah WEZAS, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir berkata, Nurul Hazwanie merupakan salah seorang dari 93 pelajar yang menerima bantuan skim bantuan pendaftaran pelajar baru bagi kemasukan semester satu sesi 2024/25.
Beliau berkata, pelajar-pelajar yang terpilih membabitkan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
"Pihak Wezas dengan kerjasama pihak Bendahari, Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) membuat saringan data pendaftaran pelajar baharu bagi mengenalpasti pelajar yg memerlukan bantuan.
"Satu pautan khas kemudiannya disediakan dalam portal pendaftaran untuk dilayari bagi pelajar mengisi maklumat yang diperlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, pihak WEZAS turun padang dengan membuat lawatan sosial ke rumah-rumah pelajar yang memerlukan bantuan bagi membuat tinjauan dan saringan kelayakan.
Jelasnya, sejumlah RM193,500 diperuntukkan kepada pelajar yang layak melibatkan dua kategori bagi skim bantuan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Naib Censelor UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pihak UPSI sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan pelajar bagi memastikan proses pendaftaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) berjalan lancar dan isu-isu berkaitan kewangan bagi pendaftaran dapat diselesaikan.
Menurutnya, seluruh kemudahan di universiti digerakkan termasuk menyediakan kolej kediaman bagi penginapan ibu bapa yang menghantar anak mereka serta pengangkutan pelajar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke UPSI yang membabitkan pelajar dari Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, kisah pelajar itu dikongsi Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu telah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini dan mendapat tawaran untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) dengan Kepujian.
Namun dia berdepan kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran dan membeli barangan keperluan peribadi disebabkan masalah kewangan.