Dewan selera, kafeteria MRSM Terendak diarah tutup 14 hari

Iklan
Asyraf Wajdi membuat lawatan mengejut ke MRSM Terendak pada Jumaat.

MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengarahkan dewan selera dan kafeteria Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak ditutup 14 hari berkuat kuasa semalam susulan penemuan najis tikus di lantai dewan makan tersebut.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, tindakan tersebut dilakukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Makanan 1983 untuk langkah pembersihan serta pembetulan di samping kedua-dua premis tersebut masing-masing dikenakan kompaun RM1,000.

Iklan
Iklan

"Selain faktor kebersihan memandangkan ada bukti kehadiran tikus, dewan selera dan kafeteria itu juga ditutup kerana peti sejuk yang digunakan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.

"Pihak koperasi juga diberikan arahan agar menghentikan dahulu jualan makanan siap bungkus daripada pembekal luar hingga siasatan selesai dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya ketika dihubungi media di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mencadangkan beberapa katering daripada senarainya untuk membekalkan makanan kepada 663 pelajar di MRSM tersebut sepanjang tempoh penutupan itu.

Semalam, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuat lawatan mengejut ke MRSM Terendak selepas menerima laporan 48 pelajar di sekolah tersebut mengalami simptom sakit perut dipercayai keracunan makanan dan lapan daripada mereka dirawat di hospital namun telah dibenarkan pulang.

Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dapur MRSM berkenaan berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus selain terdapat najis tikus dan pejabat kesihatan daerah telah mengeluarkan kompaun atas kesalahan yang dikesan. - Bernama