PADANG TERAP - Seorang saksi kejadian dua beranak yang dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan, di sini pada Sabtu sempat menjerit agar dua beranak berkenaan berpatah balik.
Mohd Sofi Rhazalee, 39, berkata, ibu tunggal terbabit Salmah Mat Zain, 48, juga sempat meninggalkan nasi lemak bungkus yang baru dibeli di atas tunggul pokok berdekatan.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 pagi ketika dia baru pulang dari membeli sarapan pagi dan ternampak mangsa sedang berpaut di pokok getah.
"Saya menjerit minta mereka berpatah balik bagaimanapun ibunya yang berpaut pada pokok getah terlepas dan anaknya, yang juga orang kelainan upaya (OKU) lembam, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, cuba menarik ibunya.
"Selepas itu mereka terkapai-kapai kami cuba memanggil namun tak ada tindak balas dan terus dibawa arus,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Katanya, dua beranak itu sebelum itu difahamkan menaiki motosikal mengikut jalan sejauh lebih tiga kilometer (km) untuk membeli nasi lemak kerana jalan utama ke rumah terputus dinaiki air.
"Mereka kemudian meletakkan motosikal di rumah seorang penduduk dan meredah air di laluan mini tar yang ditenggelami air sehingga paras dada orang dewasa untuk pulang ke rumah kerana lebih dekat," katanya.
Jelasnya, orang kampung juga bertindak memanggil mereka dan wanita itu ada menyahut beberapa kali sebelum senyap.