BEIRUT - Rejim Zionis melancarkan gelombang serangan baharu ke atas Lubnan pada Sabtu, sehari selepas ia memperhebatkan kempen pengeboman di pinggir selatan negara itu.
Bedilan bertalu-talu itu turut mencetuskan persoalan tentang nasib Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah selepas operasi itu dilancarkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk menyasarkan pemimpin tersebut yang merupakan sekutu utama Iran.
Sehingga kini, tiada pengesahan dibuat tentang keadaan terkini Nasrallah setelah sumber rapat Hizbullah memaklumkan beliau tidak dapat dihubungi sejak dua hari lalu.
"Beliau masih hidup dan baik-baik sahaja," lapor rangkaian media lain memetik kenyataan sumber itu.
Sementara itu, jurucakap IDF, Leftenan Kolonel, Nadav Shoshani menerusi platform X mengumumkan Nasrallah terkorban dalam serangan di Beirut, namun kesahihan dakwaan tersebut tidak dapat dipastikan.
Wakil media antarabangsa mengesahkan lebih 30 serangan udara dilancarkan hingga memaksa komuniti di pinggir Beirut berlindung di dataran, taman awam dan kawasan tepi pantai.
Hujan peluru selama lebih lima jam itu berlaku pada awal pagi selepas serangan yang membinasakan beberapa blok kediaman di kawasan kejiranan Haret Hreik di Dahiyeh yang disifatkan sebagai bedilan paling ganas sejak konflik rentas sempadan tercetus sejak hampir setahun lalu.
IDF mendakwa siri serangan menggila itu kononnya menyasarkan kemudahan simpanan senjata milik Hizbullah yang terletak di bawah bangunan kediaman orang awam yang merupakan alasan sama seperti ia membedil hospital di Gaza yang didakwa menjadi markas Hamas.
Sejak beberapa hari lalu, fokus operasi ketenteraan di Gaza telah beralih ke Lubnan di mana kempen pengeboman tanpa henti telah meragut lebih 700 nyawa manakala kira-kira 118,000 hilang tempat tinggal. - AFP