Ribuan hektar bakal diwartakan tanah perkampungan - Hajiji

Iklan
Hajiji (dua dari kanan) beramah mesra dengan rakyat di Kemabong ketika hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kemabong di Dewan Sri Ontoros, Kemabong, Tenom.

TENOM - Ribuan hektar tanah yang sebelum ini dalam kawasan Sabah Forest Industry (SFI) di daerah ini akan dikeluarkan daripada syarikat tersebut dan diwartakan sebagai tanah perkampungan.

Jaminan itu diberikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kepada penduduk supaya mereka boleh menduduki tanah di perkampungan tersebut secara sah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa ribu hektar tanah dalam kawasan konsesi perhutanan syarikat itu kini sudahpun dikenal pasti, selain mengarahkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) melaksanakan program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) di daerah ini.

Tambahnya, ia adalah bagi menyelesaikan tanah yang sudah lama diduduki dan diusahakan penduduk kampung supaya dapat disukat dan dikeluarkan geran kepada pemiliknya.

Iklan

"Saya nyatakan bahawa kita akan memastikan beberapa ribu ekar tanah dalam SFI dikeluarkan untuk perkampungan rakyat kita di Tenom.

"Begitu juga tanah yang belum disukat, saya akan minta Pengarah JTU untuk menggunakan program PANTAS bagi mengukur tanah penduduk supaya tanah yang sudah lama diusahakan diberi geran," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kemabong di Dewan Sri Ontoros, Kemabong pada Sabtu.

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat memberikan maklum balas terhadap beberapa usul yang dikemukakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong, Datuk Rubin Balang berkaitan kepentingan rakyat kawasan itu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Hajiji memaklumkan beliau akan memanggil syarikat berkenaan bagi membincangkan usul mengeluarkan sebahagian daripada tanah SFI tersebut.