Noramira kekal positif berjuang lawan SLE, tamat latihan Palapes

Iklan
Noramira (dua dari kanan) bersama keluarga ketika hari pentauliahan berkenaan.

JEMPOL - Meskipun diuji dengan penyakit Lupus atau Systemic Lupus Erythematosus (SLE), namun ia bukan penghalang bagi anak bongsu daripada lima beradik dekat sini kekal positif berjuang melawan penyakit tersebut.

Malah keluarga Noramira Adam, 26, turut menyifatkannya sebagai seorang yang kuat semangat sehingga berjaya menamatkan latihan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat sekali gus mendapatkan pentauliahan baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Ibunya, Zaiton Ibrahim, 63, mengaku sedih apabila mengetahui anaknya itu disahkan menghidap SLE pada Jun tahun lalu, bagaimanapun dia reda akan ketentuan ALLAH SWT.

"Sebagai ibu, sokongan moral terutamanya mental penting supaya dia tidak terlalu tertekan memikirkan penyakit yang dialaminya. Apa yang dia nak lakukan kami sokong asalkan ia tidak memudaratkan kesihatannya.

Iklan

"Saya masih berharap ada keajaiban untuknya sembuh sepenuhnya walaupun orang kata agak mustahil, tetapi kuasa ALLAH semuanya boleh terjadi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya Felda Raja Alias 3.

Noramira menunjukkan gambarnya selepas selesai stiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam ke-42 Tahun 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Iklan

Sementara itu, Noramira yang bercita-cita menjadi anggota tentera mengakui sukar baginya untuk mencapai impian tersebut susulan penyakit yang dialaminya.

"Tetapi saya masih pegang impian itu walaupun hanya sebagai anggota Wataniah, ia sudah cukup membanggakan. Setidaknya saya masih boleh berkhidmat, Insya-ALLAH," katanya yang merupakan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam pada itu, menceritakan detik permulaan sebelum disahkan SLE, Noramira berkata, dia kerap demam panas dalam tempoh sebulan selain rambutnya gugur dan sakit di bahagian sendi badan.

"Saya berulang ke klinik sebab demam, tetapi waktu itu tidak dapat kesan lagi sebelum doktor pakar sahkan SLE berdasarkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

"Ketika ini ada 32 biji ubat saya perlu makan setiap hari kerana SLE saya aktif semula sejak Jun lalu. Mungkin sebab saya terlalu penat, sampaikan badan bengkak tidak muat baju tauliah Palapes. Kasut pun tidak muat," katanya.

Noramira berkata, dia tidak mahu berasa tertekan akibat SLE dan mahu semua individu yang senasib dengannya agar menikmati perjalanan hidup ini sebaiknya.

"Tiada siapa yang mahu untuk berada di situasi sebegini tetapi saya yakin setiap apa yang dilalui ini ada hikmahnya walaupun perasaan bercampur baur. Jalani hidup ini sebaiknya terutamanya dengan keluarga yang sentiasa menyokong dan memberi semangat," katanya.