Mayat pertama tragedi banjir kilat ditemui

Iklan
Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk urusan bedah siasat. (Gambar kecil: Ahmad Aminuddin) Selipar milik kedua-dua mangsa yang menjadi petunjuk baharu.

PADANG TERAP - Mayat remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam, Muhammad Rosman Rohaidi, 19, yang hanyut bersama ibunya dalam kejadian di Kampung Tanjung Kanan, di sini pada Sabtu ditemui di dasar air dalam kebun kelapa sawit.

Ketua Zon 1, JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba 1, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 5.25 petang oleh anggota penyelamat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mayat mangsa tersangkut pada pelepah kelapa sawit iaitu kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dan ibunya dipercayai hanyut.

"Semua anggota penyelamat dari bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan polis sedang melakukan pencarian mangsa kedua iaitu, Salmah Mat Zain, 46 berdekatan lokasi anaknya ditemukan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar mengesahkan penemuan baharu iaitu sepasang selipar wanita dan sebelah selipar lelaki berdekatan lokasi kejadian.

Katanya, operasi pencarian difokuskan berdekatan kawasan terbabit memandangkan pihaknya percaya selipar itu adalah milik kedua-dua mangsa.

Iklan

"Keadaan air surut membolehkan operasi pencarian diteruskan sebelum mayat si anak ditemui tidak lama kemudian.

"Operasi akan diteruskan untuk mencari si ibu di lokasi pencarian sehingga jam 7 petang hari ini," katanya di lokasi hari ini.

Mulkiaman berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Dalam kejadian pada pagi Sabtu, dua beranak berkenaan dipercayai baru pulang dari membeli nasi lemak dan cuba meredah air banjir untuk pulang ke rumah mereka.

Penduduk kampung yang melihat situasi itu cuba menjerit mengarahkan mereka berpatah balik sebelum kedua-duanya dilihat hanyut dibawa arus.