KLUANG - Seorang pekerja dari Singapura kecewa tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi kerana tiba lewat kira-kira seminit sebelum proses membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berakhir pada jam 6 petang.
G Vijayan, 41, yang bekerja sebagai posmen berkata, kesesakan lalu lintas dan hujan lebat menyebabkan perjalanannya dari Singapura untuk tiba di Kluang agak lambat.
Katanya, dia sempat memasuki pekarangan pusat daerah mengundi (PDM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini, namun sudah melewati jam 6 petang ketika semakan nama untuk mengundi.
"Saya berasa sedih sebab memang saya mahu mengundi pada PRK ini, tapi apa boleh buat, tak ada peluang hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di luar SMK Seri Perdana, pada Sabtu.
Proses pengundian PRK DUN Mahkota di 20 buah PDM tamat secara rasmi tepat jam 6 petang tadi.
Setakat jam 4, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan pengundian sekitar 47 peratus, dengan peratusan rasmi akan diumumkan SPR malam Sabtu.