KLUANG - Barisan Nasional (BN) mengumumkan kemenangan tidak rasmi calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Syed Hussien memperoleh majoriti 17,513 undi apabila meraih sebanyak 23,436 undi berbanding calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar 5,923.
Jumlah tersebut berdasarkan setakat 103 berbanding 121 saluran yang telah dikira.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan perkembangan tersebut di Bilik Gerakan Utama (BGU) Barisan Nasional (BN).
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH (Pakatan Harapan) PN dan Warisan.
Secara keseluruhan terdapat 66,318 pengundi berdaftar bagi DUN Mahkota dengan pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta polis telah berlangsung pada Selasa, melibatkan 4,437 pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mengeluarkan kertas 607 undi pos pada 15 September dan melantik 1,126 petugas bagi mengendalikan proses PRK itu.