KUALA NERANG - Operasi mencari dan menyelamat seorang wanita yang dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan ditangguh pada jam 7 malam ini dan akan bersambung semula 7 pagi esok.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, ia berikutan keadaan gelap dan cuaca mendung yang dikhuatiri menyukarkan operasi.
"Bagaimanapun, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan berada di lokasi untuk memantau paras air serta meninjau kawasan terbabit.
"Kita jangka paras air akan terus surut sekiranya tidak hujan malam ini dan mangsa mungkin dapat ditemukan,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, operasi esok akan tertumpu di lokasi mayat Muhammad Rosman Rohadi, 19, ditemukan pada jam 5.25 petang tadi, kira-kira 150 meter dari tempat remaja kurang upaya itu dilihat dihanyutkan.
Sementara ibunya, Salmah Mat Zain, 46, belum ditemukan setakat ini.
Dua beranak itu dihanyutkan arus deras banjir pada kira-kira jam 8 pagi tadi ketika cuba menyeberang untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan dekat sini. - Bernama