[TIDAK RASMI] PRK Mahkota: BN menang bergaya dengan majoriti lebih 20,000

Iklan
Bilik Gerakan Utama (BGU) Barisan Nasional (BN) bergema dengan sorakkan 'Hussien' daripada jentera dan penyokong parti yang meraikan kemenangan Syed Hussien Syed Abdullah sebagai wakil rakyat baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

KLUANG - Bilik Gerakan Utama (BGU) Barisan Nasional (BN) bergema dengan sorakkan 'Hussien' daripada jentera dan penyokong parti yang meraikan kemenangan Syed Hussien Syed Abdullah sebagai wakil rakyat baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Pemuda UMNO Kluang itu juga dilihat mengalirkan air mata ketika bacaan doa di pentas Bilik Gerakan Utama (BGU) BN di Taman Seri Kluang.

Iklan
Iklan

Ini selepas keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota menyaksikan Syed Hussien menang bergaya dengan majoriti 20,609 apabila memperoleh undi sebanyak 27,941 undi berbanding calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, sebanyak 7,332.

Kemenangan Syed Hussien turut diraikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama-sama barisan kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH).

Iklan

Onn Hafiz dalam ucapan beliau menzahirkan penghargaan kepada semua jentera termasuk PH yang bertungkus lumus menggerakkan kempen demi kemenangan BN.

"Saya juga bersyukur BN dan rakan-rakan PH kita berkempen secara sihat...kerana bagi saya kemuafakatan itu cukup penting.

Iklan

"Dalam kita ghairah berpolitik berkempen, jangan lupa ada had dan batasan. Syabas saya ucapkan kepada semua jentera yang bertanding secara sihat untuk menangkan calon kita, Syed Hussien.

"Jadi lepas ini, bukan sahaja Syed Hussien, (tapi) kepada rakan-rakan di Johor, kita ada banyak lagi kerja. Kita mempunyai visi, aspirasi untuk bangunkan negeri Johor yang kita semua cintai.

"Jangan toleh ke belakang lagi. Kita terus bekerja untuk rakyat, kita pastikan kita bangunkan negeri ini,"katanya pada Sabtu.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.