‘Kemenangan BN bukan masa untuk rasa selesa’ - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid. Foto Bernama

SHAH ALAM - Kemenangan Barisan Nasional (BN) di beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) bukan asbab untuk parti itu mendabik dada, bermegah dan berasa selesa.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya kejayaan itu adalah isyarat jelas daripada rakyat agar parti tersebut berusaha lebih kuat untuk beri yang terbaik demi kehidupan lebih sempurna pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

"Sesungguhnya, kemenangan ini hadir bersama amanah berat dan sebuah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.

"Insya-ALLAH, kami akan terus memperbaiki haluan perjuangan ini, menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan untuk UMNO dan BN, Kerajaan Perpaduan dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dilaporkan menang dengan majoriti sebanyak 20,648 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Secara keseluruhan, Ketua Pemuda UMNO Kluang itu memperoleh undian sebanyak 27,995 undi sementara Mohamad Haizan, 7,347.

Iklan

Susulan kemenangan yang diraih, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi sokongan moral dalam menghadapi PRK itu.

Tambahnya, beliau percaya bahawa kejayaan itu menandakan penerimaan rakyat kepada tadbir urus dan kepimpinan Anwar.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada 35,791 pengundi DUN Mahkota yang telah memberikan mandat kepada kami untuk terus menabur bakti di bumi Kluang, Johor yang tercinta ini.

"Saya juga menzahirkan rasa terima kasih buat seluruh jentera BN dan rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan yang berkampung terutamanya seluruh jentera negeri Johor yang diterajui Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor.

"Kerjasama kukuh dan semangat juang kalian yang tinggi menjadi pemangkin kepada kejayaan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Syed Hussien untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN).

"Buat anakanda Syed Hussien, ingatlah bahawa budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati. Buatlah terbaik untuk #MahkotaKita,” katanya.