'Terima kasih pengundi BN DUN Mahkota' - Onn Hafiz

Iklan
Onn Hafiz (tengah) bercakap kepada pemberita selepas calon BN Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) diumumkan kemenangan pada PRK Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail. Foto Bernama

KLUANG - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang membolehkan mereka menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu hari ini.

Pengerusi BN Johor itu berkata, kemenangan tersebut adalah hasil kerjasama yang sangat baik antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) sebagai satu pasukan sepanjang tempoh berkempen dalam usaha memenangkan calonnya pada PRK itu.

Iklan
Iklan

"Syukur Alhamdulillah, kita berkumpul dalam keadaan yang bersemangat apabila mendapat mandat yang cukup baik daripada rakyat.

"Kita lihat bila kita bekerjasama sebagai satu pasukan, satu saf dan berganding bahu, keputusannya amat memberangsangkan.

Iklan

"Ini bukan usaha solo mana-mana parti sebaliknya usaha satu pasukan. Alhamdulillah, kita dapat membuktikannya di sini dengan sokongan rakyat," katanya.

Onn Hafiz, yang juga Pengarah PRK DUN Mahkota berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman keputusan rasmi pilihan raya itu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini malam ini yang turut dihadiri pemimpin BN dan PH.

Iklan

Menerusi pengumuman itu, BN kekal mempertahan kerusi DUN Mahkota selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah, memperoleh kemenangan bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar meraih 7,347 undi.

Onn Hafiz juga berterima kasih kepada pucuk pimpinan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN serta jentera semua parti dalam Kerajaan Perpaduan yang bekerja siang malam sepanjang PRK itu.

"Bagi pihak BN, saya juga mengucap jutaan terima kasih kepada setiap pengundi yang telah memberi mandat kepada kita dan seperti telah dijanjikan, hari ini mereka memberi mandat, esok Syed Hussien akan terus bekerja untuk masyarakat," katanya.

Memandangkan PRK telah berakhir, Onn Hafiz berharap semua pihak boleh kembali ke tugas hakiki masing-masing dan berkhidmat untuk negara serta negeri, dan kerajaan pimpinannya akan terus menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan ekonomi serta membawa Johor dan Malaysia ke tahap lebih membanggakan. - Bernama