ABMS langkah strategik cegah rasuah

Iklan
Sektor pembinaan dilihat amat terdedah kepada berlakunya kes rasuah kerana ia melibatkan banyak peluang projek dilaksanakan. Foto hiasan

SHAH ALAM - Cadangan agar syarikat pembinaan mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS) adalah langkah yang strategik dan baik untuk membanteras rasuah dalam sektor tersebut.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, pelaksanaan itu sangat dialu-alukan memandangkan ia merupakan sistem pengurusan antirasuah yang berpiawaian antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Bukan itu sahaja, pasukan audit dalaman yang mantap juga perlu diperkasakan peranan secara teliti.

"Audit perlu dijalankan bukan sahaja setahun sekali, tetapi secara berterusan sepanjang tempoh projek.

Iklan

"Proses audit tidak harus tertumpu pada kewangan sahaja, tetapi juga meliputi proses lain yang berkaitan dengan projek tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Zainal Adnan Abdul Halim

Iklan

Media sebelum ini melaporkan, kelemahan sistem tatakelola dan salah guna kuasa dalam sektor pembinaan akan menjadi tumpuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi isu rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sektor pembinaan dilihat amat terdedah kepada berlakunya kes rasuah kerana ia melibatkan banyak peluang projek dilaksanakan.

Dalam pada itu, Zainal Adnan memaklumkan, faktor terjadinya rasuah dalam sektor tersebut adalah disebabkan banyak transaksi kewangan besar, melibatkan banyak pihak berkepentingan dan pelbagai peraturan yang kompleks.

"Projek pembinaan terutama berskala besar seperti infrastruktur awam banyak memerlukan dana yang sangat banyak.

"Jadi ia membuka peluang bagi pihak tertentu untuk memanipulasi perjanjian atau pemberian kontrak demi keuntungan peribadi atau syarikat,” ujarnya.

Tambah Zainal Adnan, bukan sahaja sektor pembinaan yang banyak terlibat dengan suapan, tetapi sektor lain seperti yang melibatkan kawalan ke atas sumber penting, keputusan besar atau dana yang banyak.

"Sebagai contoh, dalam sektor perkhidmatan kerajaan dan pentadbiran awam yang secara langsung terlibat dalam pengurusan dana awam, pembuatan polisi, pemberian lesen, serta kelulusan projek dan tender.

"Rasuah boleh berlaku melalui penyalahgunaan kuasa, suapan untuk meluluskan sesuatu dan manipulasi dalam proses tender,” jelasnya.