Naib Canselor UniSZA beri kejutan kepada pelajar

Iklan
Fadzli (dua dari kiri) bergambar bersama Aisha Syafiyya (tengah) selepas menyampaikan sumbangan di kediaman keluarga Aisha Syafiyya

HULU TERENGGANU - Seorang pelajar baharu, Nurul Batrisya Rusdi, 19, tidak menyangka kejadian sehari sebelum dia menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dikejutkan dengan kehadiran Naib Canselor ke rumahnya di Felda Jerangau, Ajil dekat sini pada Sabtu.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam telah menyampaikan sumbangan komputer riba, wang tunai berjumlah RM500 dan bakul Rahmah kepada Nurul Batrisya sebagai persediaan untuk memulakan pengajian di universiti berkenaan bermula hari ini.

Iklan
Iklan

Selain Nurul Batrisya, tiga lagi pelajar UniSZA yang kurang berkemampuan di Hulu Terengganu turut diberikan bantuan yang sama menerusi Program Ziarah Kasih dan Sumbangan Awal UniSZA.

Nurul Batrisya berkata, dia terharu atas kunjungan daripada Naib Canselor UniSZA yang datang ke rumahnya dalam menyampaikan sumbangan dan bantuan tersebut.

Iklan
Fadzli (kanan) menyampaikan sumbangan pada Nurul Batrisya di kediaman keluarganya

"Saya akan mendaftar di UniSZA sebagai pelajar baharu untuk Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa. Saya tak sangka Naib Canselor sendiri yang datang ke rumah bagi menyampaikan sumbangan kepada saya untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

"Saya ingat hanya staf UniSZA yang hadir rupanya Naib Canselor sendiri yang datang bagi sumbangan. Ia adalah kejutan yang tidak disangka-sangka kerana dapat mengenali beliau dengan lebih dekat.

Iklan

"Terima kasih UniSZA atas sumbangan dan bantuan diberikan ini sekali gus dapat meringankan beban kepada saya dan keluarga untuk membuat persediaan awal ke universiti," katanya yang juga merupakan anak bongsu dari tiga beradik.

Seorang lagi pelajar, Aisha Syafiyya Mohamad Zakhuwan, 19, menyatakan dia amat bersyukur dan gembira dengan bantuan awal yang diterimanya daripada pihak UniSZA.

"Dengan bantuan ini maka ia dapat meringankan beban ibu saya untuk persiapan membeli kelengkapan bagi menyambung pengajian di universiti nanti.

"Saya harap dengan bantuan ini juga dapat meningkatkan motivasi untuk terus belajar bersungguh-sungguh," katanya yang akan mendaftar bagi program Sarjana Muda Sains Perubatan dan Kesihatan.

Sementara itu, Fadzli berkata, Program Ziarah Kasih itu adalah salah satu usaha yang disarankan Menteri Pendidikan Tinggi bagi membantu pelajar yang tidak berkemampuan untuk membuat persediaan awal pendaftaran bagi menyambung pengajian di universiti.

"Sebelum masuk UniSZA, kita kenal pasti dahulu pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan supaya mereka dapat mendaftar dan persiapan mereka lengkap untuk sesi pembelajaran nanti.

"Kita akan pastikan semasa tempoh pengajian di universiti nanti, pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan dari segi kewangan ini akan dibantu dengan pelbagai bantuan dan kemudahan yang telah pihak UniSZA sediakan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata, UniSZA sentiasa peka dalam menjaga kebajikan pelajar dengan pelbagai bentuk bantuan termasuk Program Pembangunan Siswa Sulong 3.0; pemberian Zakat; bakul makanan; pinjaman dana makan minum; bantuan komputer riba dan tawaran Job on Kampus.

Pada program itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat serta pengurusan tertinggi UniSZA turut hadir dalam menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada pelajar terbabit.