SHAH ALAM - Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan memperkuatkan lagi tekad parti untuk terus membawa politik kesederhanaan bersama-sama rakan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kejayaan meraih majoriti besar ini juga memberi makna yang cukup besar sempena sambutan 50 tahun BN, selain menjadi suntikan semangat untuk parti agar mendapat kembali keyakinan dan sokongan rakyat.
"BN menzahirkan kesyukuran atas kemenangan penuh bermakna Syed Hussein Syed Abdullah pada PRK DUN Mahkota Johor. Sesungguhnya kemenangan ini adalah merupakan satu amanah rakyat yang memberikan keyakinan kepada parti untuk terus istiqamah dalam mengangkat agenda membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyatnya.
"Tidak ketinggalan kerjasama yang dihulurkan oleh rakan rakan parti daripada Pakatan Harapan memberikan sumbangan terhadap kemenangan yang cukup bermakna ini.
"Kepada BN Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi kemenangan ini adalah manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi.
Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Dun Mahkota, Azurawati Wahid selepas penjumlahan undi daripada 20 pusat mengundi membabitkan 109 saluran selesai di Dewan Tunku Ibrahim, Kluang, Johor.