KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului senarai 763 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-55 pada Ahad.
Dalam istiadat di Istana Balai Besar, di sini, Anwar dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) membawa gelaran Datuk.
Dua Individu dikurniakan Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) membawa gelaran Datuk, iaitu Pengerusi Eksekutif Apex Equity Holdings Berhad, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhibbah Security Sdn Bhd, Datuk Mohd Khidir Yaacob.
Penerima tunggal bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) dikurniakan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk Zulkeffeli Mat Jusoh membawa gelaran Datuk.
Tiga individu iaitu Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, Profesor Jabatan Al-quran Dan Al-hadith Universiti Malaya, Datuk Dr Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff dan Pengarah Tanah Dan Galian Kelantan, Datuk Rosnazli Amin dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK), juga membawa gelaran Datuk.
Ketua Polis Negera, Tan Sri Razarudin Husain, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Seri Nordin Muhamad dan Bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun pula dikurniakan Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK) membawa gelaran Datuk.
Tiga penerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) ialah Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhammad, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Dr Ahmad Anuar Othman dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood atau Johan Mahmood Merican.
Seramai 10 individu menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) membawa gelaran Datuk, termasuk Exco Pertanian, Industri Agromakanan Dan Komoditi Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Wan Roslan Wan Hamat.
Lima penerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) juga membawa gelaran Datuk, termasuk Pengarah Rejimen Artileri Diraja, Brigider Jeneral Datuk Norazman Ismail dan Panglima Markas Briged Kelapan Infantri Kem Pengkalan Chepa, Brigider Jeneral Muzamil Ali.
Turut membawa gelaran Datuk adalah Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang dikurniakan kepada lapan penerima antaranya Hakim Mahkamah Tinggi 1 Kota Bharu, Datuk Azmi Abdullah, Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Hazri Hassan dan Yang Dipertua Majlis Pembandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam, Mohd Anis Hussien.
Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK), juga membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Bekas Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Sheikh Azhar Sheik Omar.