SPRM berjumpa Maszlee isu 1BestariNet

Iklan
Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengadakan perjumpaan dengan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melibatkan isu 1BestariNet.

Menurut sumber, perjumpaan itu dibuat oleh pegawai penyiasat kes pada minggu lepas.

Iklan
Iklan

"Pegawai penyiasat telah berjumpa dengan Dr Maszlee untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu ini (1BestariNet).

"Siasatan kes ini masih dijalankan termasuk tindakan SPRM mendapatkan dokumen berkaitan dan keterangan beberapa individu," katanya.

Iklan

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Sinar Harian pada 6 September lalu melaporkan kenyataan Maszlee bahawa isu membabitkan 1BestariNet menjadi antara faktor peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan pada Januari 2020.

Iklan

Dalam pendedahannya itu, Maszlee memberitahu Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memintanya berbuat demikian, di atas permintaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

26 September lalu, Azam memaklumkan siasatan dijalankan akan melihat kepada pembekalan data internet terhadap 8,000 sekolah di seluruh negara.

Azam berkata, mengikut kontrak 1BestariNet, perkhidmatan internet perlu dibekalkan kepada sekolah di seluruh negara mengikut kelajuan dan jumlah data yang ditetapkan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM telah memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion.

Tender itu dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.