Spacex lancar kapal angkasa, bawa pulang angkasawan terkandas

Iklan
SpaceX pada Sabtu berjaya melancarkan kapal angkasa Crew 9 dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral di Florida untuk membawa pulang dua angkasawan yang terkandas di ISS. Foto AFP

WASHINGTON - SpaceX pada Sabtu berjaya melancarkan kapal angkasa Crew 9 dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral di Florida untuk membawa pulang dua angkasawan yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), lapor United Press International (UPI).

Kapal angkasa berkenaan yang membawa angkasawan NASA Nick Hague dan angkasawan Rusia, Aleksandr Gorbunov berlepas seperti yang dirancang, didorong ke angkasa oleh roket dua peringkat Falcon 9 yang boleh digunakan semula milik SpaceX.

Iklan
Iklan

Kapal angkasa syarikat yang berpangkalan di California itu berlepas mengikut jadual dari Pad 40 pada 1.17 tengah hari EDT.

Pelancaran Falcon 9 dari Pad 40 itu adalah yang pertama bagi penerbangan manusia ke angkasa. Anggota kru yang menaiki Dragon milik SpaceX biasanya berlepas dari Pad 39A di Pusat Angkasa Kennedy namun kerja-kerja sedang dijalankan di lokasi itu.

Iklan

Pelancaran itu ditangguhkan dari Khamis kerana angin kencang dan hujan akibat Taufan Helene di kawasan berkenaan.

Kapsul itu dijangka tiba di ISS pada kira-kira 5.30 petang ET Ahad dan akan berada di stesen angkasa berkenaan selama enam bulan.

Iklan

Ini merupakan penerbangan kedua Hague ke ISS, selaku komander misi dan kolonel dalam Angkatan Angkasa Amerika Syarikat (AS).

Ia adalah penerbangan pertama ke angkasa bagi Gorbunov.

Pada penghujung Ogos, NASA mengesahkan bahawa ia mengurangkan saiz kru daripada empat kepada dua.

Agensi angkasa itu membuat keputusan berkenaan untuk memberi laluan kepada pemulangan angkasawan pesawat angkasa Starliner Boeing yang terkandas.

Misi membawa kru pertama kapal angkasa Boeing itu berakhir dengan kekecewaan bagi angkasawan Butch Wilmore dan Suni Williams selepas penerbangan ujian selama seminggu. Mereka kini dijadualkan pulang ke Bumi pada Februari.

Starliner Boeing kembali ke Bumi tanpa kru awal bulan ini. - Bernama-UPI