PADANG TERAP - Mangsa tragedi dibawa arus banjir di Kampung Tanjung Kanan, Muhammad Rosman Rohadi,19, merupakan seorang pelajar yang baik dan bertanggungjawab di sekolah.
Guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap, Nor Hidayah Shaari, 40, berkata, dia sudah enam tahun mengajar Muhammad Rosman yang merupakan pelajar tahun akhir di sekolahnya.
Katanya, mereka baru saja mengadakan program memasak pada Khamis lalu di sekolah.
"Dia ni pendiam tapi kalau kita bagi tugasan apa pun dia akan buat. Dia memang rapat dengan ibunya ke mana sahaja mesti berdua," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Nor Hidayah berkata, dia ada terlihat Muhammad Rosman bersama ibunya menaiki motosikal pada pagi kejadian ketika dalam perjalanan ke sekolah.
"Masa tu jam 7.30 pagi saya nampak kelibat dua beranak ni, terdetik juga di hati saya, awal betul keluar, ke mana dua beranak ni hendak pergi.
Menurutnya, pada petang kejadian dia pergi ke lokasi untuk mendapatkan perkembangan kes anak muridnya itu.
"Sebaik sahaja sampai di lokasi, saya tengok tempat Rosman dan ibunya hilang sambil sebut beberapa kali Rosman timbullah, timbullah walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
"Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit mayat Rosman berjaya dijumpai pasukan penyelamat,” katanya sebak.
Jelasnya, Muhammad Rosman merupakan orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran dan mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Padang Terap.
"Saya berhasrat untuk bantu dia menduduki Sijil kemahiran Malaysia (SKM), selain mencari pekerjaan buatnya kelak, namun semuanya tidak kesampaian,” katanya dalam nada sebak.