BENTONG - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta mempertimbangkan perlindungan insurans kepada tanaman lain untuk keterjaminan makanan di negara ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, ketika ini hanya tanaman padi dilindungi di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang menerima perlindungan kewangan mencukupi apabila berdepan dengan kerugian hasil tanaman akibat bencana.
Menurutnya, ia sebagai salah satu usaha untuk mengelakkan negara terlalu bergantung dengan bekalan import dan perlu menghasilkan sumber makanan sendiri.
"Sektor pertanian berdepan pelbagai risiko seperti bencana alam, masalah cuaca, serangan musuh tanaman dan kerajaan sekarang ini memperkenalkan insurans untuk tanaman padi.
"Tapi aktiviti pertanian kita pelbagai, untuk tanaman lain tiada. Jadi mohon kerjasama baik kerajaan mempertimbangkan jaringan keselamatan melalui perlindungan insurans dan perkara ini perlu diperhalusi kerana kebanyakan negara luar ada skim ini," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-51 Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di sebuah hotel di Genting Highlands di sini pada Jumaat.
Ujarnya lagi, perlindungan tersebut secara tidak langsung akan membantu meringankan beban kewangan petani apabila dilanda musibah dan berharap ia dapat dibentangkan dalam belanjawan akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PASFA, Datuk Zamri Yaakob berkata, Pahang akan merintis projek tanaman jagung mutiara yang akan dijalankan pada awal tahun depan di Kampung Terisu Cameron Highlands
"Projek seluas kira-kira 0.8 hektar yang dilaksanakan Persatuan Peladang Kawasan ( PPK) Cameron Highlands dijangka memberi hasil pulangan yang baik dan anggaran keuntungan RM431,400 setelah seluruh kawasan ditanam jagung manis," tambahnya.