'Beras import sepatutnya lagi murah sekarang'

Iklan
Syed Abu Hussin (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah berupa enjin bot kepada pemenang selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Memancing Kelubong Challenge di Dewan Orang Ramai Kampung Kelubong pada Sabtu.

BUKIT GANTANG - Harga beras import seharusnya menurun susulan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (ASD).

Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bagaimanapun berkata, keadaan tersebut tidak berlaku ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan itu kerajaan digesa membuat penetapan harga beras import yang dijual di negara ini bagi memastikan harga beras lebih rendah dapat dinikmati oleh rakyat.

"Dari segi harga barang ini disebabkan ASD sudah menurun, ringgit dah semakin kuat, maka barang-barang yang kita import masuk ke dalam negara adalah lebih murah. Cuma sekarang pemain-pemain industri masih lagi di takuk lama.

Iklan

"Sepatutnya ketika harga ringgit semakin kuat inilah maka harga beras import semakin rendah. Di sinilah kaedah untuk menetapkan harga beras sepatutnya telah dibuat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan Memancing Kelubong Challenge di Dewan Orang Ramai Kampung Kelubong di sini pada Sabtu.

Iklan

Syed Abu Hussin berkata, jika penetapan harga beras import tidak dilakukan dibimbangi akan menjejaskan harga pasaran beras tempatan yang meningkat ketika ini.

Menurutnya, harga padi kini mencecah hampir RM2,000 bagi satu metrik tan sekali gus harga beras tempatan yang dijual RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) di karnival jualan murah oleh agensi kerajaan, kemungkinan tidak dapat direalisasikan lagi pada masa akan datang.

Katanya, jika harga tersebut kekal dijual maka pesawah di negara ini akan menjadi mangsa.

Jelasnya, sepatutnya harga beras tempatan dijual antara RM35 hingga RM36 bagi pek sepuluh kilogram.

"Sepatutnya harga itu telah ditetapkan sebab sekarang ini harga yang ditetapkan hanyalah beras tempatan iaitu RM26 tapi beras tak ada. Sebab itu saya katakan beras tempatan itu di peket menjadi beras import.

"Jika sekarang ini beras import rendah mungkin satu masa nanti beras import akan dijual sebagai beras tempatan, jadi inilah yang perlu dipantau sebab pergerakan perniagaan pemain industri ini sangat licik," katanya.

Pengukuhan nilai ringgit yang dilaporkan melonjak naik berturut-turut sejak kebelakangan ini memberi sinar baharu kepada kerajaan untuk terus meningkat dan menstabilkan taraf ekonomi negara.

Peningkatan nilai ringgit dilihat mampu menurunkan harga barang import yang akan membantu mengurangkan inflasi dan meningkatkan daya beli rakyat.

Sebelum ini media melaporkan, ringgit dilaporkan melonjak ke paras 4.12 berbanding dolar AS dan muncul sebagai antara mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di dunia.