Gunung Chamah, Gua Musang mampu tingkat pembangunan Kelantan Selatan

Iklan
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan bertitah pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena ulang tahun hari keputeraan baginda ke-55 yang berlangsung di Istana Balai Besar hari ini. - Foto : Bernama

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yakin pembukaan kawasan baharu di Gunung Chamah, Gua Musang di sini mampu meningkatkan pembangunan di kawasan Kelantan Selatan.

Baginda bertitah pada masa sama ia mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Beta berharap, perancangan yang dibuat perlu memastikan pembangunan yang lestari dan menitikberatkan penjagaan alam sekitar," titah baginda pada Majlis Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-55 di Balai Istana Besar, di sini pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendahului senarai 763 penerima darjah kebesaran bintang, pingat dan surat kepujian sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Iklan

Anwar dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) membawa gelaran Datuk.

Sultan Muhammad V bertitah lagi, baginda menyeru semua pihak agar terus meningkatkan kemudahan pelancongan dan kebersihan negeri serta memperkenalkan produk pelancongan.

Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (SPJK) kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V Yang Ke-55 hari ini. - Foto: Bernama

Iklan

Baginda bertitah, sektor pelancongan Kelantan menyumbang sebanyak RM2.6 bilion kepada ekonomi negeri pada tahun 2023.

"Beta berharap sempena Tahun Melawat Kelantan tahun ini, jumlah pelawat domestik dan pelancong mampu mengatasi rekod pada tahun 2023.

"Tahun 2023, seramai 4.09 juta pelancong dan 7.55 juta pelawat domestik," titah baginda.

Suasana sekitar Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V Yang Ke-55 yang berlangsung di Istana Balai Besar hari ini. - Foto: Bernama

Sultan Muhammad V turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter.

"Langkah ini merupakan satu usaha dalam menjadikan lapangan terbang tersebut sebagai sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa dan meningkatkan infrastruktur pengangkutan negara.

"Jaringan pengangkutan darat memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Sukacita beta, menyeru agar projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LTP 3) dapat dipercepatkan pelaksanaannya," titah baginda.