Keputusan DUN Mahkota reformasi pengundi Melayu tolak kempen negatif PN - PKR

Iklan
Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Majoriti besar diperoleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menunjukkan kelangsungan reformasi minda pengundi Melayu yang menolak kempen negatif oleh Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh berkata, keputusan ini turut memperlihat bahawa rakyat mahukan kestabilan dan keharmonian negara, bukannya tindakan yang boleh mengundang perpecahan.

Iklan
Iklan

"Tahniah kepada saudara Syed Hussein atas kemenangan dengan majoriti sebanyak 20,648 undi, sekali gus membayangkan sokongan pengundi di Mahkota kepada UMNO dan Kerajaan Perpaduan. Tahniah juga kepada YAB Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz.

"Semangat kerjasama dan kebersamaan di antara BN dan Pakatan Harapan (PH) yang ditonjolkan oleh jentera parti yang giat berkempen, adalah hasil daripada keutuhan pimpinan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah, menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi.

Iklan

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, PKR sentiasa mendengar suara rakyat yang telah disampaikan kepada barisan pimpinan oleh akar umbi semasa berkempen berlangsung.

Ujarnya, parti juga akan terus komited dalam usaha reformasi negara demi kesejahteraan rakyat.

"Semoga semangat perpaduan di antara BN dan PH akan berterusan demi menjamin kestabilan politik dan kemampanan ekonomi negara bagi jangka masa panjang," katanya.