PTPTN mengajak orang ramai buka akaun Simpan SSPN, sempena BMS 2024

Iklan
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid melakukan gimik Majlis Pelancaran Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024.
KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangkakan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) kali ini lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, orang ramai perlu menggunakan peluang yang ada untuk segera membuka akaun Simpan SSPN atau menambahkan simpanan sedia ada bagi menerima manfaat dividen tersebut.

"Jangan lupa untuk menabung demi masa depan anak-anak kita dan saya jamin PTPTN akan memastikan dividen yang dikeluarkan setiap tahun akan sentiasa meningkat.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian sempena Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 di pusat beli-belah MyTown Kuala Lumpur pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful (HLMT), Mohd Asri Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Elite Definition Sdn Bhd (Little Joe), Mohamad Farhan Mohd Fawzi.

NORLIZA
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Ujar Norliza, Tahun ini, genaplah dua dekad usia Simpan SSPN. Tempoh ini bukanlah satu fasa yang singkat. PTPTN telah mengharungi pelbagai cabaran untuk memastikan Simpan SSPN terus kekal relevan sebagai produk simpanan terbaik dan berdaya saing di negara ini. Pencapaian deposit Simpan SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan membanggakan.

PTPTN menyasarkan kutipan jumlah deposit Simpan SSPN RM220 juta sempena penganjuran BMS 2024.

Menurutnya, sasaran tersebut diyakini dapat dicapai berdasarkan prestasi kutipan dalam tempoh enam tahun sepanjang penganjuran program tersebut sebelum ini.

"Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama oleh pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan,” ujarnya.

BMS 2024 teruskan fokus kepada inisiatif penabungan

Tambah Norliza, BMS 2024 yang memasuki tahun ketujuh penganjurannya sejak 2018 merupakan inisiatif penabungan dipelopori oleh PTPTN bertujuan bagi memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira kepada anak-anak dengan mempunyai perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman.

Katanya, program yang mengetengahkan tema fantasi sempena Hari Impian Sedunia dan mengekalkan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’ itu turut diadakan serentak di seluruh negara.

"Tagline itu juga sangat signifikan dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’ iaitu memenuhi impian anak-anak untuk mengecapi kejayaan dengan usaha bersungguh-sungguh dan membuat persediaan kewangan yang baik,” jelasnya.

Persembahan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang juga merupakan artis jemputan bagi BMS 2024.


Simpan SSPN katanya, menawarkan pelbagai manfaat kepada masyarakat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif dan Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah serta simpanan dijamin kerajaan.

Katanya, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN.

"PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara. Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2024, www.ptptn.gov.my/BMS2024,” ujar beliau.

Ketika Majlis Pelancaran BMS 2024, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2024, penyampaian hadiah pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 (Kategori Cabutan Siri WOW! Kasih), penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Action Song Simpan SSPN dan tayangan lagu korporat PTPTN yang telah diberi nafas baru, seiring dengan perkembangan industri muzik.

Sementara itu, penganjuran program tersebut menyaksikan penyampaian hadiah untuk pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 Kategori Cabutan Siri WOW! Kasih berjumlah RM10,000.

Pemenang, Chan Yin Ling berkata, dia tidak menyangka terpilih memenangi cabutan berkenaan berikutan sudah lama menabung untuk simpanan bagi kedua-dua anaknya sejak 2017 lagi.

"Sebenarnya saya sangat menyokong usaha menabung dalam akaun Simpan SSPN terutamanya kepada golongan ibu bapa demi masa depan anak-anak mereka.

"Usaha ini sangat penting (untuk menabung), kerana apabila anak-anak boleh melanjutkan pengajian ke universiti, sudah tentu mereka memerlukan duit Simpan SSPN ini,” katanya.

Pemenang WOW! Simpan SSPN 2024 Kategori Cabutan Siri WOW! Kasih, Chan Yin Ling (tiga dari kiri) bergambar bersama keluarganya dalam BMS 2024 pada Sabtu.


Selain itu, pada majlis berkenaan turut menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Action Song Simpan SSPN yang menobatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Convent (1) Bukit Nanas sebagai juara bagi kategori tersebut.

Juara membawa pulang wang tunai berbentuk Simpan SSPN Prime bernilai RM 3,750, manakala naib juara pula mendapat RM3,000, diikuti tempat ketiga RM2,250.

Norliza (lima dari kanan bergambar bersama kumpulan Sekolah Kebangsaan (SK) Convent (1) Bukit Nanas sebagai juara bagi Pertandingan Action Song Simpan SSPN.


Guru SK Convent (1) Bukit Nanas, Nurfarah Sahira Ahmad Tarmizi berkata, penganjuran pertandingan tersebut memberi motivasi kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam program PTPTN selain meningkatkan kesedaran mereka terhadap manfaat dan pentingnya menabung melalui Simpan SSPN.

"Inisiatif pertandingan di bawah anjuran BMS 2024 ini amat baik kerana kanak-kanak bukan sahaja dapat bergembira tetapi mereka dapat belajar kepentingan Simpan SSPN menerusi program ini.

"Sebelum ini, kami semua tahu mengenai PTPTN sahaja tetapi melalui program BMS 2024 ini kanak-kanak pun tahu bahawa ada Simpan SSPN di bawah pertubuhan tersebut,” ujarnya.

REAKSI

MUHAMMAD HARMINDER SINGH


"Penganjuran program BMS 2024 ini memberi kesedaran tentang pentingnya untuk menabung dan sebab itu, saya juga baru mendaftar Simpan SSPN kerana saya sedar inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada anak saya,” - Pelakon, Muhammad Harminder Singh Kuldip Singh, 53.

DATIN ALMY NADIA


"Program BMS 2024 ini bagus kerana ia mengajak ibu bapa untuk menabung demi anak-anak. Sebenarnya menabung ini walaupun dengan nilai yang kecil tetapi jika kerap dilakukan ia sangat membantu untuk kegunaan masa depan apabila anak mahu melanjutkan pengajian,” Isteri kepada pelakon Datuk Fizz Fairuz, Datin Almy Nadia, 38