KOTA BHARU - Seorang rakyat dari Pasir Puteh sanggup menumpang tidur di Masjid Jamek Muhammadi di sini demi memastikan dia tidak ketinggalan menyambut Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-55 pada Ahad.
Zaiton Mohd Nor, 59, tidak ketinggalan membawa hadiah berupa sejadah putih serta beberapa barangan lain untuk dipersembahankan kepada Sultan Muhammad V.
Menurutnya, dia berbuat demikian kerana ingin melihat Sultan Kelantan lebih dekat berbanding sebelumnya hanya mampu menatap wajah baginda di telefon.
"Biasanya tengok Tuanku di telefon menerusi TikTok, kali ini saya teringin hendak tengok depan-depan," katanya yang merupakan antara ribuan rakyat Kelantan yang hadir ke Padang Merdeka di sini untuk meraikan Hari Keputeraan Sultan Kelantan ke-55.
Dalam pada itu, Nik Echah Nik Zulazhar, 43, dari Rantau Panjang memberitahu dia bersama keluarga termasuk anak-anak saudara hadir ke lokasi sambutan seawal jam 7 pagi bagi memastikan mereka mendapat tempat di hadapan.
Menurutnya, mereka begitu teruja untuk melihat Sultan Muhammad V dari dekat dan kebetulan cuti umum, kesempatan tersebut digunakan sebagai cara menzahirkan rasa syukur serta gembira terhadap sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan ke-55.
"Seronok walaupun hanya mampu tengok dari jauh tetapi ia sudah memadai untuk kami," katanya.
Sementara itu, seorang perantau, Azman Lah, 49, kebetulan dia pulang bercuti pada hari ini (Ahad) peluang tersebut tidak dilepaskan untuk membawa isteri serta anak-anak sama-sama meraikan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan ke-55.
Dia yang menetap di Kuala Lumpur berkata, peluang tersebut digunakan untuk memperkenalkan Institusi Raja Kelantan kepada anak-anak.