KUANTAN - Seorang pelajar Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) lemas ketika cuba menyelamat dua rakan perempuan yang dihanyutkan arus semasa mandi di Sungai Pasir Puteri, Kuala Kenau, Sungai Lembing di sini pada Ahad.
Mayat mangsa, Muhammad Amirul Fahmie Saiful, 19 beralamat dari Taman Maran Impian, Maran ditemui jam 12.12 tengah hari di lokasi kira-kira 25 meter dari tempat dia dilaporkan lemas pada kedalaman 1.5 meter.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian itu, dua mangsa perempuan masing-masing berusia 19 berjaya diselamatkan.
Menurutnya, salah seorang mangsa lemas yang selamat di bawa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing untuk rawatan.
"Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadiam kira-kira jam 10.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Sungai Lembing ke lokasi.
"Siasatan mendapati, enam rakan itu termasuk mangsa bertolak dari kolej jam 6 pagi menuju ke Sungai Lembing untuk mendaki Bukit Panorama.
"Selepas selesai mendaki kira-kira jam 8.30 pagi, mereka pergi ke tapak perkelahan Pasir Puteri untuk mandi-manda," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, mangsa bersama rakan mandi di kawasan lubuk kira-kira lima meter dari tebing.
"Ketika mereka leka mandi, salah seorang rakan perempuan mangsa telah dihanyutkan arus dan hampir lemas.
"Salah seorang daripada mereka melihat kejadian itu lalu berenang utk menyelamatkan rakannya itu namun kedua-duanya dihanyutkan," katanya.
Jelas Wan Mohd Zahari, mangsa kemudian bertindak menyelamatkan kedua-dua rakannya itu dan dibawa ke tepi tebing dengan dibantu rakan lelaki yang lain.
"Selepas itu, rakannya menyedari mangsa hilang dikhuatiri lemas lalu menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan," katanya.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan bantuan pihak bomba dan orang awam di lokasi sebelum mangsa ditemui selepas hampir satu jam pencarian," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.30 pagi.
Menurutnya, susulan itu, lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Tindakan awal operasi dengan melakukan pencarian mangsa di permukaan di lokasi kejadian sebelum selaman dilakukan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA)
"Operasi SAR dibantu anggota polis dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Lembing," katanya.