Tak sedar anjing diikat, diseret di belakang kereta

Iklan
Klip video yang memaparkan anjing yang diikat pada kereta lelaki berkenaan dan diseret.

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki membuat laporan polis selepas mendapati anjing peliharaannya diikat pada kereta yang dipandunya dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Lelaki berusia 29 tahun itu membuat laporan polis pada jam 12.41 tengah malam Ahad.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, lelaki tersebut memaklumkan bahawa pada jam 8 malam Sabtu, dia diberitahu oleh seorang lelaki bahawa terdapat seekor anjing diikat di belakang keretanya.

"Ketika dia berhenti di lampu isyarat Jalan Kulim, Taman Sentosa di sini, lelaki itu telah dimaklumkan oleh seorang lelaki mengatakan terdapat seekor anjing yang diikat di belakang kenderaannya.

Iklan

"Dia kemudiannya turun dari kenderaan dan mendapati memang benar anjing peliharaannya diikat pada bahagian 'bumper'," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Helmi lagi, lelaki tersebut terus menghubungi isterinya dan dimaklumkan bahawa anjing tersebut telah diikat oleh adik iparnya untuk mengelakkan haiwan tersebut berkeliaran ke rumah jiran.

Iklan

"Lelaki berkenaan mengaku kecuaiannya dan tiada niat untuk menganiaya anjing tersebut serta memohon maaf kepada orang ramai atas kekhilafannya.

"Dia tidak perasan anjing tersebut telah diikat di belakang kenderaannya semasa hendak keluar ke kedai dan menyebabkan anjing tersebut diseret secara tidak sengaja," katanya.

Jelas beliau, akibat daripada kejadian itu, anjing tersebut telah mengalami kecederaan di kaki dan dibawa ke klinik untuk rawatan.

"Siasatan mendapati, pengadu adalah pemilik berdaftar anjing tersebut.

"Kes tersebut telah dirujuk ke Jabatan Veterinar Pulau Pinang dan disiasat di bawah Seksyen 29(1)e Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.

Helmi berkata lagi, klip video anjing tersebut diseret oleh kenderaan yang dipandu pengadu telah tular di media sosial.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat keselamatan awam dan harta benda," katanya.