Terengganu sasar semua penggiat industri akuakultur miliki sijil MyGAP

Iklan
Azman (dua dari kanan) merasmikan Seminar Amalan Akuakultur dan Pelancaran Dashboard Supply Quality Assurance (SQA) Red Kenyir.

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyasarkan semua penggiat industri akuakultur di negeri ini memiliki Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, setakat ini sebanyak 43 pensijilan MyGAP telah dianugerahkan kepada premis akuakultur di Terengganu.

Iklan
Iklan

"Sasaran kita adalah semua penggiat industri akuakultur yang mengamalkan pelbagai sistem termasuk hatcheri ikan marin, ladang ternakan udang serta ternakan ikan air tawar dan ikan air payau dalam sangkar memiliki sijil MyGAP.

"Kita ada lebih 500 penternak akuakultur di negeri ini dan daripada jumlah itu sebanyak 43 penternak sudah mempunyai sijil MyGAP. Jadi kita sasarkan semua pengusaha akuakultur terbabit mesti mempunyai sijil tersebut dalam tempoh tiga tahun ini.

Iklan

"Sijil MyGAP itu penting untuk mengesahkan produk dihasilkan mempunyai kualiti yang baik selain selamat dari segi kandungannya.

"Dengan adanya sijil itu membolehkan produk dikeluarkan dapat dipasarkan ke tempat lebih jauh iaitu sehingga ke pasaran antarabangsa," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Amalan Akuakultur dan Pelancaran Dashboard Supply Quality Assurance (SQA) Red Kenyir di Auditorium Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu di sini pada Ahad.

Azman (tengah) menyampaikan mock cheque insentif MyGAP bernilai RM64,000 kepada penternak.

Mengulas lanjut, Azman berkata, ladang atau premis akuakultur yagn memohon sijil MyGAP akan melalui proses pengauditan bagi menilai pematuhan terhadap kriteria-kriteria tersebut sebelum dianugerahkan dengan sijil berkenaan.

"Selain itu, produk ikan dari ladang yang mempunyai sijil MyGAP juga akan dipantau dari segi kandungan antibiotik, bahan kimia terlarang dan lain-lain unsur yang boleh menggugat keselamatan makanan.

"Produk hasilan ikan yang mempunyai sijil MyGAp itu sudah dieksport ke luar negara dan kini berjaya dieksport ke Kesatuan Eropah (EU)," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman menyatakan seramai dua penternak dari daerah Besut menerima insentif MyGAP bernilai RM64,000.

Menurutnya, insentif tersebut meliputi kemudahan sanitasi, stor makanan, stor peralatan, stor bahan kimia, pagar kawasan serta rawatan air.

"Pemberian ini bertujuan untuk mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh penternak akuakultur dalam usaha mendapatkan pensijilan MyGAP," jelasnya.