MACHANG - Tempoh tahanan reman terhadap seorang mudir sebuah sekolah rendah integrasi yang dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) disambung tiga hari bermula esok bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Majistret Amal Razim Alias membenarkan pelanjutan tahanan reman ke atas mudir berusia 66 tahun itu selepas mendengar permohonan polis di Mahkamah Majistret Machang di sini hari ini.
Iklan
Iklan
Sebelum itu, lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Majistret Machang pada 9.50 pagi diiringi oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pasir Puteh.
Terdahulu Bernama melaporkan mudir itu direman selama empat hari bermula 26 September lepas setelah polis menjalankan serbuan di Sekolah Rendah Integrasi Ikhwan di Pasir Puteh dan merampas 34 buah buku terbitan larangan berkaitan Abuya.
Tangkapan terhadap mudir itu dilakukan pada 11 pagi 25 September lepas di tepi sebuah kedai makan di Pasir Puteh.
Mudir berkenaan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Zuraidah Abdul Aziz. - Bernama