Sukma 2028: Serius pertingkat prasarana, pembangunan atlet-atlet - Sultan Kelantan

Iklan
Sultan Muhammad V dan Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri sempena ulang tahun hari keputeraan baginda Yang Ke-55 di Istana Balai Besar, hari ini. Foto Bernama

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan diminta untuk mengambil pendekatan serius dalam meningkatkan prasarana dan pembangunan atlet negeri ini bagi mendepani dan bersiap siaga sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada 2028, titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Baginda berharap sebagai tuan rumah Sukma yang akan datang, Kelantan mampu memberikan saingan kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Beta juga menyarankan agar sukan dilihat sebagai satu sumber janaan ekonomi baharu kepada negeri ini melalui penganjuran sukan rekreasi dan bersifat pelancongan sukan," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Sementara itu, Sultan Muhammad V juga menyeru agar jabatan dan agensi berkaitan pertanian dan penyediaan infrastruktur pertanian memastikan tahap sara diri pengeluaran makanan sentiasa terjamin dan mencukupi.

Iklan

Titah baginda, kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga diperlukan bagi memastikan pelaksanaan dibuat secara bersepadu.

Sementara itu, Sultan Muhammad V bertitah sektor pelancongan Kelantan menyumbang RM2.6 bilion kepada ekonomi negeri tahun lepas.

Iklan

"Beta berharap sempena Tahun Melawat Kelantan pada tahun ini, jumlah pelawat domestik dan pelancong mampu mengatasi rekod yang dicatatkan pada 2023 iaitu 4.09 juta pelancong dan 7.55 juta pelawat domestik.

"Semua pihak adalah diseru agar terus meningkatkan kemudahan pelancongan dan kebersihan di negeri beta dan memperkenalkan produk pelancongan yang lebih menarik untuk menggamit kunjungan para pelancong," titah baginda. - Bernama