PRK Mahkota: Undi bukan Melayu rendah, parti Kerajaan Perpaduan perlu muhasabah

Iklan
Kor Ming (duduk, dua dari kiri) bersama pimpinan DAPSY selepas menyampaikan ucapan sempena Konvensyen Biasa Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Perak 2024 yang diadakan di sini, pada Ahad.

IPOH – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota seharusnya menjadi medan muhasabah dan peringatan kepada parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan susulan peratusan undi dalam kalangan pengundi bukan Melayu yang rendah.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, parti-parti kerajaan perlu memandang serius peratusan undi bukan Melayu yang sangat rendah dengan melihat punca mereka tidak keluar mengundi dan mesej yang cuba disampaikan.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu beliau menasihati pucuk pimpinan parti masing-masing untuk menjaga kedamaian dan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.

"Komponen Kerajaan Perpaduan perlu berwaspada terhadap mereka yang dianggap sebagai perosak yang merupakan gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut. Semua parti perlu berhati-hati supaya ia tidak menjadi racun kepada kita pada PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang.

Iklan

"Jangan kerana nila setitik, rosak susuk sebelanga. Kita tahu siapa dia perosak dalam komponen kerajaan Madani. Mereka dilihat bukan berjuang untuk kerajaan Madani sebaliknya satu usaha licik yang cuba menjatuhkan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Biasa Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Perak 2024 yang diadakan di sini, pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Ketua DAPSY Kebangsaan, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Dalam pada itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, keputusan di DUN Mahkota itu juga jelas menunjukkan bahawa rakyat sudah muak dengan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan raja-raja Melayu atau 3R yang dimainkan khususnya oleh pembangkang.

"Pakatan Harapan (PH) juga perlu menjadi inspirasi dan aspirasi rakyat supaya kita membawa politik membina bukan politik membinasa.

"Bila kita tawar, melamar mereka (pembangkang) supaya tandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarat yang kita tetapkan amat munasabah sekali iaitu jangan main sentimen perkauman, tunggang agama tipu rakyat, mereka tolak. Kita hendak bagi peruntukan, dia tidak mahu, lepas itu dia buat fitnah terhadap kerajaan," katanya.

Pada PRK DUN Mahkota, Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah menang dengan majoriti sebanyak 20,648 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Secara keseluruhan, Ketua Pemuda UMNO Kluang itu memperoleh undian sebanyak 27,995 undi sementara Mohamad Haizan, 7,347.