JKDM tumpas aktiviti penyeludupan rokok, arak dan dadah

Iklan
Aminul Izmeer (hadapan), dua kiri menunjukkan botol minuman keras yang dirampas.

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan dan pengedaran rokok serta minuman keras membabitkan jumlah sitaan dan cukai sebanyak RM13.9 juta hasil serbuan yang dijalankan di seluruh negeri termasuk satu serbuan di Kuala Lumpur 1 antara 17 Julai hingga 17 Ogos lalu.

Menurut Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, serbuan dilakukan di beberapa lokasi antaranya di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, Pelabuhan Pasir Gudang, Kuchai Lama; Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Taman Impian Emas di sini.

Iklan
Iklan

"Modus operandi semua sindiket adalah dengan membuat pengikraran tidak benar ke atas dagangan bagi mengelak dari dikesan JKDM.

"Dalam serbuan yang dilakukan, ada antara sindiket yang mengikrarkan kontena mereka membawa barangan seperti barangan plastik dan alatan sembahyang.

Iklan

"Bagaimanapun, ada juga yang kita serbu di gudang simpanan selain yang dirampas dari dalam lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV), yang digunakan mereka," katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam pada Ahad.

Tambah Aminul, dalam operasi selama sebulan itu, pihak JKDM Negeri Johor, turut melancarkan Op Outlet yang meliputi kawasan Johor Bahru, Gelang Patah, Muar, Batu Pahat, Pengerang, Pontian, Pasir Gudang dan Mersing.

Iklan

Tambahnya, Op Outlet yang mengkhusus kepada warga asing atau tempatan yang terbabit dalam disyaki terbabit dalam penjualan barang seludup termasuk rokok dan minuman keras di sepanjang tempoh sebulan operasi dijalankan.

"Sebanyak 180 premis melibatkan kedai runcit, premis gudang, kediaman dan kedai makan diperiksa dengan menghasilkan 95 kes dengan 76 tangkapan dengan 39 warga tempatan dan 37 warga asing," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Aminul Izmeer berkata, pihak JKDM Negeri Johor berjaya merampas dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ekstasi seberat 2.9 kilogram dan dianggarkan bernilai RM1.3 juta di Jalan Parit Perpat Laut, Rengit.

Katanya, dalam operasi pada jam 2 petang, 10 Ogos lalu itu, pihaknya telah menemui beg beroda yang disembunyikan di bawah satu kotak gabus sebelum pemeriksaan dibuat.

"Kita turut menemukan dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ekstasi seberat 2.9 kilogram itu, ditemukan hasil risikan Pasukan Peninjau Marin Sungai Pulai, JKDM Negeri Johor.

"Hasil pemeriksaan kita menemui bungkusan hitam mengandungi plastik yang tertera tulisan teh cina, alat acuan dan 'vacuum sealer' serta 14 peket kecil berisi pil dan serbuk disyaki dadah.

"Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan 'laluan tikus' untuk menyeludup dadah keluar atau masuk ke negara ini sebelum diedarkan kepada orang ramai," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.