SEPANG - Seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas melanggar sebuah lori yang membelok secara mengejut dalam kejadian di Kilometer 48.7 Lebuhraya Dengkil-Puchong pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, motosikal ditunggang lelaki tempatan berumur 27 tahun itu kemudiannya terbabas sebelum dirempuh sebuah kereta di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintenden G Shan Gopal berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkaitan kejadian melibatkan tiga kenderaan itu.
Beliau berkata, siasatan mendapati sebuah lori dipandu di lorong kiri menghala ke arah Cyberjaya/Puchong didapati secara tiba-tiba membelok ke kiri menuju ke laluan susur keluar dari arah stesen minyak di lokasi kejadian.
"Masa sama, motosikal ditunggang mangsa yang sedang bergerak keluar dari stesen minyak berkenaan kemudiannya tidak sempat mengelak sebelum melanggar lori tersebut mengakibatkannya mangsa terjatuh.
"Sebuah kereta yang datang dari lorong kanan kemudiannya melanggar motosikal mangsa yang terbabas di atas jalan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa mengalami cedera ringan selain luka dan calar di tangan serta kepala.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan kemalangan dipercayai berpunca akibat sebuah lori yang bertindak membelok secara tiba-tiba.
Kejadian mengakibatkan sebuah motosikal terbabas sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan lain.