Sokongan terhadap gabungan PH-BN, jelas - Penganalisis

Iklan
Calon Barisan Nasional Syed Hussien Syed Abdullah (depan, tengah) meraikan kemenangan dengan bergambar bersama kepimpinan tertinggi Barisan Nasional selepas diumumkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Transisi daripada persaingan kepada kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan, kini memperlihatkan aras penerimaan ‘selesa’ dalam kalangan rakyat, indikator penting kepada kestabilan negara.

Pemerhati politik, Prof Madya Dr Khairunesa Isa berkata, perkara ini dibuktikan menerusi keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam, dan Nenggiri sebelum ini, dengan BN mewakili Kerajaan Perpaduan menang selesa di kedua-dua kawasan itu.

Iklan
Iklan

"Pengurangan perbezaan ideologi boleh memulihkan kepercayaan rakyat dan membawa kepada keharmonian serta pembangunan lebih sejahtera, bagi mendepani isu mendatang yang menjadi keutamaan rakyat,” katanya kepada Bernama.

PRK DUN Mahkota, semalam menyaksikan BN mempertahankan kerusi itu selepas calonnya Syed Hussien Syed Abdullah menang bergaya dengan majoriti 20,648 undi selepas mendapat 27,995 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar memperoleh 7,347 undi.

Iklan

Manakala di PRK Nenggiri, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjaya menawan kerusi DUN itu dengan majoriti selesa 3,352 undi, selepas memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN Mohd Rizwadi yang meraih 5,739 undi.

Khairunesa yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkata, kemenangan BN ini memberi ‘aura’ positif dan tidak dapat dinafikan akan menjadi cerminan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Iklan

Sementara itu, penganalisis politik daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kerjasama antara BN dan PH boleh dianggap semakin baik walaupun melalui beberapa cabaran di peringkat awal.

"Majoriti besar menampakkan komitmen dan kesungguhan untuk mengembangkan kolaborasi ini.

"Gelombang PH-BN ini boleh melihat kepada titik-titik persamaan untuk mengukuhkan kerjasama dalam membina keyakinan dalam kalangan pengundi tegar mereka, untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan sebagai satu gabungan besar baharu,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, kemenangan BN pada PRK DUN Mahkota, boleh diterjemahkan sebagai satu kerjasama erat antara PH dan BN.

"Masing-masing berjaya lakukan tugas dalam pastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.

"Antara faktor kemenangan ini didorong sentimen rakyat yang mahu kerajaan stabil...dengan mengekalkan calon BN itu bererti kerajaan Johor kekal utuh dan di peringkat nasional dengan sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

"Perdana Menteri boleh menjalankan tugasnya dengan lebih yakin dan lancar, kerana adanya kestabilan politik dan rakyat teruja dengan keadaan ekonomi negara bertambah baik dan ringgit yang semakin mengukuh malah pelaburan asing juga bertambah,” katanya.

Beliau berkata, keputusan PRK DUN Mahkota akan menjadi dorongan kepada gabungan itu untuk meneruskan kerjasama pada masa akan datang sehingga PRU-16 kerana keyakinan rakyat terhadap BN kembali bertambah dan dilihat satu peluang kepada mereka mewujudkan kerajaan stabil. - Bernama