'Salmah dan Rosman seperti berjanji sehidup semati'

Iklan
Jenazah Salmah dan Rosman dikebumikan satu liang lahad di sini. Gambar kecil dari kiri: Rosman, Salmah

PADANG TERAP - Dua beranak yang maut dalam tragedi dibawa arus banjir di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang di sini Salmah Mat Zain,46 dan Muhammad Rosman Rohadi, 19, seperti sudah berjanji untuk sehidup semati.

Bapa saudara kepada Salmah, Md Tajuddin Awang Muhammad, 47, berkata, Salmah dan anaknya, Muhammad Rosman mempunyai hubungan yang sangat rapat selain hanya tinggal berdua sahaja di rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan.

Iklan
Iklan
Md Tajuddin

"Mereka tidak pernah berpisah dan seperti sudah janji mereka meninggal pun bersama," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Menurutnya, ketika kejadian kelihatan Rosman memegang tangan ibunya dan mereka juga berpelukan sebelum hilang dihanyutkan arus deras.

Iklan

"Salmah menyara keluarga dengan menoreh getah, manakala Muhammad Rosman orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Terap," katanya.

Sementara itu, jenazah dua beranak terbabit selamat dikebumikan satu liang lahad jam 4 petang pada Ahad selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

Iklan
Seramai 200 orang jemaah menunaikan solat jenazah di Masjid Aisyah Kampung Tanjung

Jenazah Salmah dan Muhammad Rosman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah Kampung Tanjung, di sini.

Seramai 200 jemaah juga hadir menunaikan solat jenazah kedua mereka di Masjid Aisyah, Kampung Tanjung pada jam 3 petang.

Sebelum ini, media melaporkan Salmah dan Muhammad Rosman dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan kira-kira jam 8.15 pagi pada Sabtu selepas membeli nasi lemak.

Mayat Muhammad Rosman ditemui tersangkut pada pelepah kelapa sawit kira-kira jam 5.25 petang Sabtu sementara mayat Salmah dijumpai di bawah timbunan pelepah kelapa sawit pada 7.45 pagi pada Ahad.