Budak genius masuk UM, bukti kejayaan program Permata Pintar

Iklan
Rosmah (kiri) pernah bertemu Iz Emir (kanan) pada suatu masa dahulu ketika melawat Pusat Permata Pintar.

SHAH ALAM - Datin Seri Rosmah Mansor menzahirkan rasa bangga terhadap kehebatan kanak-kanak genius, Iz Emir yang berjaya mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda di Universiti Malaya (UM) pada usia 12 tahun.

Datin Seri Rosmah Mansor berkata, beliau pernah bertemu dengan Iz Emir dan beberapa kanak-kanak lain yang mengikuti pembelajaran di Permata Pintar beberapa tahun yang lalu.

Iklan
Iklan

"Kebanggaan yang saya rasai pada hari ini adalah dia (Iz Emir) seolah-olah salah seorang anak saya.

"Hati saya kembali berbangga apabila beliau menjadi pelajar termuda yang didaftarkan sepanjang sejarah UM sejak penubuhannya pada 1962,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Iz Emir yang mendaftar pada Sabtu, akan mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains dalam Matematik.

Rosmah (dua dari kiri) turut melihat keupayaan dan kehebatan kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran di Pusat Permata Pintar.

Berdasarkan perkongsian Fatimah Kari di Facebook, kanak-kanak genius itu memasuki Tingkatan Satu di Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seterusnya belajar O Level pada usia lapan tahun dan A Level pada usia 11 tahun.

Iklan

Mengulas lanjut, Rosmah berkata, kanak-kanak genius seperti Iz Emir menjadi asbab beliau menubuhkan Permata Pintar yang direka dengan teliti bagi memenuhi keperluan seseorang individu.

"Alhamdulillah, sejarah tercipta. Semoga ALLAH memberkati perjuangan Iz Emir,” ujarnya.

Permata Negara merupakan antara projek yang diilhamkan oleh Rosmah bersama beberapa kumpulan profesional, pendidik, ahli akademik, pakar perubatan dan lain-lain.

Menerusi projek tersebut, ia mengandungi lima program utama iaitu Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Permata Remaja dan Permata Kurnia.

Menyentuh mengenai Pusat Permata Pintar Negara, ia mula ditubuhkan pada 3 April 2009 dan satu perjanjian telah dibuat bersama Universiti Johns Hopkins-Pusat Belia Berbakat untuk membantu memulakan program.

Pada 2010, UKM telah menerima tanah seluas 8.9 hektar yang terletak di Bukit Puteri untuk membina kompleks Permata Pintar.