Dipelawa naik kereta, tapi kena samun

Iklan
Mangsa didatangi sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita menawarkan untuk menghantar pulang sebelum suspek bersetuju untuk menaikinya. Gambar hiasan

AMPANG JAYA - Dua wanita antara empat individu diberkas dipercayai menyamun serta memukul seorang individu mabuk dalam kejadian dekat Pandan Perdana baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada 22 September kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa berada di luar sebuah pusat hiburan untuk menunggu kenderaan p-hailing.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mangsa kemudian didatangi sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita menawarkan untuk menghantar pulang sebelum suspek bersetuju untuk menaikinya.

"Berlaku pertengkaran apabila salah seorang suspek mendakwa mangsa mengganggu penumpang dalam kereta berkenaan sebelum suspek bertindak memukul mangsa dengan menggunakan helmet.

Iklan

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka kemudian terjun dari kereta berkenaan untuk melarikan diri," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, suspek terlibat kemudiannya mengambil kesemua barangan milik mangsa.

Iklan

"Mangsa mengalami kerugian sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM100 akibat kejadian.

"Selain itu, suspek turut mengalami kecederaan di bahagian pipi, lutut, siku dan beberapa bahagian anggota badan," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada tangkapan empat suspek dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Suspek terdiri daripada dua wanita dan dua lelaki tempatan ditahan pada Jumaat dan Sabtu lalu di sekitar kawasan Pandan Jaya dan Kuala Lumpur.

"Turut dirampas dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu adalah beberapa buah telefon bimbit termasuk milik mangsa," katanya.

Mohd Azam berkata kesemua suspek direman antara lima hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.