Bayi lelaki tiga bulan cedera parah nahas dua kenderaan

Iklan
Kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Bezza dan Honda City. Foto Ihsan PDRM

MARAN - Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan cedera parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 30 Jalan Maran-Bandar Jengka di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan Honda City.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, mangsa iaitu penumpang kereta Perodua Bezza, Muhammad Harraz Luqman Ahmad Rizal duduk di pangkuan ibunya, Nor Hafizah Suhaimi, 41, yang turut patah kaki kanan.

Menurutnya, kenderaan itu dipandu bapa bayi tersebut, Ahmad Rizal Zamani, 44, yang cedera di bahagian perut.

Iklan

"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku semasa Perodua Bezza dalam perjalanan dari arah bandar Maran menghala ke bandar Jengka.

"Apabila sampai di tempat kejadian Honda City yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Bezza berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Keadaan kereta yang remuk akibat kemalangan tersebut. Foto Ihsan PDRM

Iklan

Ujar beliau, tiga lagi penumpang iaitu dua anak pasangan tersebut, Muhammad Akid Fahmi,11, dan Nur Soffiya Maisara,5, serta warga emas, Fatimah Muhammad, 74, turut cedera.

Jelasnya, pemandu Honda City iaitu lelaki berusia 52 tahun bersama dua penumpang iaitu isterinya berusia 50 tahun dan anak perempuan berusia 20 tahun turut cedera.

"Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Jengka untuk menerima rawatan.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu Honda City yang gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kemalangan berlaku," tambahnya lagi.

Katanya, saksi awam, waris dan lain-lain saksi kejadian akan dikesan bagi membantu siasatan.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.