Serangan Israel terhadap orang awam di luar kawalan - Pakistan

Iklan
Kemusnahan di bandar Tayr Dibba di selatan Lubnan. Foto AFP

NEW DELHI - Pakistan pada Ahad mengutuk 'pencerobohan yang semakin meningkat' oleh Israel di Timur Tengah dan menyifatkan serangan rejim Yahudi itu terhadap orang awam sebagai di luar kawalan.

"Sejak beberapa hari kebelakangan ini, tentera Israel terlibat dalam pelanggaran kedaulatan Lubnan yang tidak boleh diterima, tanpa henti menyasarkan pusat penduduk awam yang menjejaskan kestabilan dan keselamatannya," menurut Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati berkata, dianggarkan satu juta orang di Lubnan kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman Israel.

Pakistan turut berkata, pembunuhan Setiausaha Agung pergerakan penentangan Lubnan, Hizbullah, Hassan Nasrallah oleh Israel"merupakan peningkatan ketegangan yang ketara di rantau yang sudah tidak stabil."

Iklan

Israel memusnahkan seluruh kawasan kejiranan dalam serangan Jumaat di kawasan padat penduduk di selatan Beirut.

Pesawat tempur Israel menjatuhkan 85 bom buatan Amerika seberat 1,000 kilogram setiap satu di kawasan bersaiz blok bandar dalam beberapa saat antara satu sama lain, dengan setiap bom mempunyai radius pembunuhan 33 meter, menurut laporan Al Jazeera.

Iklan

"Pakistan mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Israel yang semakin meningkat di Timur Tengah. Serangannya yang tidak terkawal terhadap penduduk awam dan pengabaian undang-undang antarabangsa telah mencapai tahap yang membimbangkan," menurut Kementerian Luar.

"Pakistan terus bersolidariti dengan rakyat Lubnan. Kami menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menghalang Israel daripada meneruskan penguasaannya di rantau ini dan pelanggaran undang-undang antarabangsa; dan memulihkan keamanan di Timur Tengah, katanya.

Lubnan mengumumkan tiga hari berkabung, bermula Isnin susulan kematian Nasrallah. - Bernama