KUALA LUMPUR City (KL City) FC bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan selesa 4-2 ke atas Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.
Anak buah Miroslav Kuljanac ketinggalan seawal minit ketiga selepas pemain pertahanan Penang, Muhammad Adib Abdul Ra'op menyudahkan hantaran rakan sepasukan dari sudut sukar untuk menewaskan penjaga gol Muhammad Azri Ab Ghani.
Bagaimanapun, lima minit kemudian kapten KL City, Paulo Josue menyamakan kedudukan sebelum pemain tengah import Jovan Motika meletakkan skuad The City Boys mendahului 2-1 pada minit ke-22.
Penyerang muda skuad negara Muhammad Haqimi Azim Rosli yang dibawa masuk pada awal separuh masa kedua tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan apabila meledak gol ketiga KL City selepas menyempurnakan hantaran lintang Josue pada minit ke-56.
Pemain berusia 21 tahun itu menambah derita Penang selepas menjaringkan gol peribadi keduanya pada minit ke-74 sebelum pasukan pelawat bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli berjaya menambah gol di hujung permainan menerusi Rodrigo Dias pada minit ke-83.
Kejayaan di laman sendiri itu menyaksikan KL City merakam kemenangan kelima musim ini dan naik tiga anak tangga ke posisi kelapan liga manakala Penang FC pula di tempat ke-10 dengan masing-masing memungut 11 mata selepas 11 perlawanan.