SHAH ALAM - Jemaah yang menunaikan ibadah umrah kini dapat menikmati kadar tukaran yang tinggi selaras pengukuhan nilai ringgit.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ia disebabkan kadar tukaran bagi RM1 bersamaan dengan 1.05 riyal.
Menurutnya, pengukuhan nilai ringgit itu memberi penjimatan kepada jemaah sekali gus membolehkan mereka berbelanja lebih kerana kadar tukaran yang tinggi.
"Kalau sebelum ini kita perlu bayar 1.3 riyal Arab Saudi, sekarang lebih kurang 1.05 riyal, bermakna duit kita semakin kukuh.
"Jemaah dapat jimat duit poket untuk beli barang atau perkhidmatan pada kadar lebih murah termasuk dapat berbelanja lebih untuk beli pakaian, makanan dan minuman,” katanya.
Razali berkata, dianggarkan individu yang bakal mengerjakan umrah beroleh penjimatan sekitar RM400 sebagai duit poket yang membolehkan mereka berbelanja lebih.
"Jimatlah jika lakukan umrah pada ketika ini, tetapi tidak terlalu banyak.
"Kalau pakej umrah bernilai RM7,000, daripada jumlah itu RM4,000 untuk kos penerbangan dan visa, selebihnya penginapan dan sebagainya.
"Mungkin akan ada duit poket lebih sekitar RM400. Jika secara berkeluarga atau kumpulan, seorang jimat RM400, 40 orang sudah RM16,000,” jelas beliau.
Menurutnya, kedudukan nilai ringgit yang kini kembali mengukuh merupakan masa terbaik untuk mengerjakan umrah atau melancong ke luar negara.
"Biarpun ringgit melonjak ke paras 4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, namun ia tidak beri kesan besar kerana faktor luaran seperti kos pengangkutan dan harga barang negara dilawati tidak berubah.
"Malah harga pakej pelancongan atau umrah juga tidak berubah sebab pakej itu merangkumi pelbagai butiran.
"Mungkin untuk duit poket saja lebih seronok, dapat belanja lebih,” ujarnya.
Razali berkata, melancong mahupun mengerjakan umrah hanya dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun menyebabkan ia tidak memberi kesan besar berikutan pakej ditawarkan tetap pada harga sama.
"Biarpun berlaku penjimatan tetapi harga pakej tidak turun. Bila harga jimat pun, peniaga tidak turunkan harga berbanding bila harga naik, semua naik harga. Apatah lagi harga di negara dilawati tidak berubah,” tambahnya.
Dalam pada itu, Razali berkata, nikmat berbelanja itu bergantung kepada nilai ringgit.
"Kita tidak boleh jangka berapa lama situsi ini akan kekal, semua bergantung pada nilai ringgit sama ada terus mengukuh atau sebaliknya,” katanya.