MERAK Jalanan teruja dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman cuci longkang dan cuci tandas kepada individu yang membuang sampah merata-rata di tempat awam.
Hukuman khidmat sosial itu adalah bagi individu yang pernah dikompaun tetapi tidak serik-serik mengulangi kesalahan sama.
Sebenarnya, undang-undang khidmat sosial (CWO) bukan asing dan sudah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Sweden dan Norway. Singapura pula sudah 34 tahun melaksanakannya sejak 1994.
Undang-undang Singapura adalah antara yang paling ketat. Jangankan buang sampah di tepi jalan, meninggalkan sisa makanan di atas meja termasuk tidak memulangkan pinggan mangkuk dan dulang di gerai, medan selera dan kedai kopi, juga satu kesalahan.
Singapura guna 2,600 kamera CCTV untuk tujuan ini. Siapa yang buang sampah di sana akan didenda RM6,000 (S$2,000) manakala kesalahan kedua RM12,000 (S$4,000) serta didenda cuci dan sapu jalan sehingga 12 jam.
Pesalah juga akan dipakaikan baju rompi yang mempamerkan kesalahan mereka.
Namun CWO Singapura tidaklah berjaya sepenuhnya. Mengikut laporan, 20,000 orang disaman pada 2022, naik berbanding hanya 14,000 saman pada 2021 dan 17,400 pada 2020. Sebanyak 2,200 CWO pula dikeluarkan dari 2020 hingga 2022.
Merak Jalanan berpendapat undang-undang saja tidak cukup untuk mendisiplinkan manusia.
Mereka tidak akan beringat sampailah musibah itu terkena ke atas diri sendiri.
Jadilah seperti orang Jepun yang sanggup membawa balik sampah ke rumah hanya kerana tidak bertemu tong sampah di jalanan.
Disipin seharusnya bermula sejak kecil di rumah. Merak Jalanan masih pegang kata-kata seorang ustaz supaya ibu bapa suruh anak cuci jamban di rumah.
Bukan saja untuk kebersihan tetapi juga mendidik hati agar tidak berasa besar diri dan memandang rendah kepada orang lain.